ENGLAND - BRITAIN. McDonald menarik balik sebuah iklan televisyen selepas dituduh mengeksploitasi perasaan kanak-kanak yang baharu kehilangan ibu atau bapa.

Menurut CNN Money, iklan berdurasi 90 saat tersebut menampilkan interaksi seorang ibu kepada anak lelakinya mengenai ayah mereka yang sudah meninggal dunia.

Si ibu kemudian membawa anak lelakinya ke restoran McDonald dan memesan sandwich Filet-O-Fish dan mengatakan makanan tersebut adalah kegemaran ayahnya.

Lebih dari 150 individu kemudian membuat aduan mengenai iklan tersebut kepada Badan Iklan UK (ASA) dan menuduh McDonald 'menyalahgunakan kesedihan anak'.

Pengkritik mendakwa 'berasa jijik kerana iklan tersebut mempergunakan kesedihan kehilangan ibu bapa'.

McDonald telah mengeluarkan kenyataan meminta maaf dan menarik iklan tersebut dari siaran.

"Bukan niat kami untuk menimbulkan kekusutan. Kami memohon maaf kerana iklan tersebut mengecewakan mereka yang penting untuk kami, iaitu pelanggan," kata rangkaian restoran makanan segera berkenaan.

Sementara itu, ASA akan membuat keputusan sama ada mahu menyiasat perkara tersebut.

"Mereka yang mengadu mengatakan iklan berkenaan tidak sesuai dan tidak sensitif kerana menggunakan kekecewaan dan kesedihan untuk menjual produk," kata pegawai ASA, Matt Wilson.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.