PARIS - PERANCIS. Presiden Perancis, Emmanuel Macron, hari ini memecat ketua pengawal peribadinya selepas sebuah rakaman video menunjukkan lelaki itu memukul penunjuk perasaan ketika berada di luar waktu bertugas pada Mei lalu.

Bagaimanapun, beberapa pihak mengkritik tindakan Macron itu yang didakwa sudah terlambat.

Pejabat presiden memberitahu keputusan itu dibuat bukan kerana pendedahan rakaman video terbabit sebaliknya kerana dia telah menggunakan cara salah untuk memperoleh dokumen bagi membela dirinya terhadap kes tersebut.

Pada mulanya, Alexandre Benalla digantung kerja selama 15 hari kerana insiden itu yang berlaku pada sambutan Hari Buruh Sedunia.

Beberapa hari lalu, dia dilihat di khalayak ramai membantu mengawal keselamatan sempena meraikan kepulangan pasukan kebangsaan yang menjuarai Piala Dunia.

Bagaimanapun, Benalla kini telah ditahan pihak berkuasa.

Dalam rakaman yang dikeluarkan akhbar Le Monde, kelmarin, lelaki terbabit dilihat mengheret seorang wanita sebelum memukul seorang penunjuk perasaan lelaki.

Dua hari kemudian, media tempatan mengeluarkan video kedua memaparkan tindakan kekerasan Benalla terhadap seorang wanita. - Reuters