CURITIBA - BRAZIL. Bekas presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, semalam akhirnya menarik diri untuk bertanding dalam pilihan raya pada bulan depan.

Ketua Parti Pekerja (PT), Senator Gleisi Hoffmann membuat pengumuman itu di bandar Curitiba di mana Lula dipenjarakan atas tuduhan rasuah sejak April lalu, namun dinafikan oleh beliau.

Keputusan pengunduran itu bagi membolehkan calon pasangan, Fernando Haddad untuk bertanding.

Surat ditulis bekas presiden itu turut dibaca di hadapan penyokongnya yang kekal tidak berganjak dari luar ibu pejabat polis persekutuan, lokasi di mana Lula ditahan.

"Seorang lelaki boleh dipenjarakan secara tidak adil, tetapi bukan ideanya. Kita semua adalah Lula dan hari ini Fernando Haddad akan menjadi Lula untuk jutaan rakyat Brazil," menurut kandungan surat itu yang dibaca oleh pengasas PT, Luiz Eduardo Greenhalgh.

Bekas presiden dari 2003 hingga 2010 dijatuhi hukuman penjara 12 tahun atas kesalahan rasuah.

Di bawah undang-undang negara itu, individu yang disabit bersalah oleh mahkamah dilarang bertanding dalam pilihan raya. - Reuters