SETIAP kali tibanya tarikh 11 September, peristiwa serangan yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) sekitar 17 tahun lalu pastinya terbayang di minda.

Susulan kejadian itu, satu tapak peringatan yang dinamakan Ground Zero diwujudkan.

Ia sudah dilawati ribuan manusia dari seluruh pelusuk dunia sejak dibuka suatu ketika dahulu.

Namun, apa yang menarik mengenai tapak peringatan itu pastinya kisah-kisah misteri yang menghantui pengunjungnya.

Sebilangan pengunjung berkata mereka menyaksikan pelbagai entiti misteri di Ground Zero.

Salah satu imej entiti misteri yang bertebaran seperti debu berjaya dirakam oleh pengunjung tapak peringatan itu.

Malah, ada juga yang sempat membuat rakaman video sekaligus menguatkan telahan mengenai misteri tapak peringatan itu.

Satu video yang ditularkan menerusi laman sosial menyaksikan satu imej separa lutsinar seolah-olah sedang terapung di dalam serpihan runtuhan sebagaimana kejadian sebenar pada 17 tahun lalu.

Dakwa individu tersebut, bayangan berkenaan bangkit daripada debu-debu yang berterbangan sebelum ia terapung secara perlahan-lahan.

Pegawai-pegawai penyelamat yang bertugas di lokasi itu selepas kejadian serangan itu turut berkongsi mengenai kisah misteri yang dilaluinya.

Pegawai polis New York, Sarjan Frank Marra mendakwa melihat hantu wanita berpakaian seragam warna putih seperti petugas Bulan Sabit Merah era Perang Dunia ke-2 di lokasi itu.

"Pada mulanya, saya sangka dia petugas di situ juga.

"Saya melihatnya beberapa kali sebelum menyedari ia sebenarnya bukan manusia, dia akan hilang setiap kali dihampiri," ujarnya.

Kisah pegawai itu turut dibukukan dalam karya bertajuk Hallowed Ground.- mStar.