SANAA - YAMAN. Seorang bapa di Yaman nekad berjalan selama lebih tiga jam sambil mengendong bayinya berusia lima bulan ke hospital.

Abdo Shoo'i tiba di pusat perubatan di daerah Aslam wilayah Hajja dengan tujuan untuk menyelamatkannya anak lelakinya, Aqeel yang kebuluran.

Malangnya, bayi tersebut meninggal dunia sebelum sempat diselamatkan.

Doktor di pusat perubatan itu cuba menyelamatkan bayi tersebut selama lebih sejam sebelum mengkhabarkan berita sedih itu kepada Shoo'i.

"Saya tiada wang untuk menaiki sebarang pengangkutan. Saya juga tidak mempunyai wang yang cukup untuk seperempat perjalanan," katanya yang berjalan kaki dari perkampungan Jayah.

Bulan lalu, Save the Children menganggarkan 85,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun berisiko mati kebuluran dan diserang penyakit akibat perang saudara yang berlarutan di negara itu sejak 2015.

Menurut data Tabung Kanak-kanak PBB (Unicef), lebih separuh daripada 14 juta yang berada di ambang kebuluran adalah golongan budak.

Difahamkan, lebih 22 juta orang meliputi tiga suku populasi penduduk kini bergantung dengan bantuan kemanusiaan untuk meneruskan hidup. - Al-Araby