ARKANSAS - AMERIKA SYARIKAT. Sepasang kekasih ditahan selepas bayi mereka berusia 15 hari ditemui cedera parah dengan kira-kira 100 gigitan tikus pada tubuhnya, lapor Arkansasmatters.

Jururawat kecemasan dari Pusat Perubatan Wilayah Mangnolia menjelaskan, bayi yang berusia 15 hari dengan berat kira-kira 2.3kg telah digigit sekurang-kurangnya 100 kali dengan kecederaan agak teruk.

Polis Jabatan Polis Magnolia berkata, jari, tangan dan muka bayi berkenaan dipenuhi gigitan tikus. Terdapat kira-kira satu inci lebar luka pada dahi bayi.

Ibu bapa bayi itu telah dikenal pasti polis sebagai Erica Shryock, 19, dan Charles Elliott, 18.

Polis yang bercakap dengan nenek bayi itu, Regina Barton berkata, anak lelakinya Charles memaklumkan kepadanya, bayi berkenaan telah digigit tikus dan memberitahu dia berasa takut bayinya itu akan diambil.

Barton memberitahu anaknya, dia perlu membawa bayi berkenaan ke hospital.

Sementara itu, ibu bayi itu, Erica memberitahu polis dia meletakkan bayi sekitar jam 5:30 pagi Ahad, 14 Mei dan terjaga selepas mendengar jeritan bayi itu pada jam 7.30 pagi.

Bayi berkenaan tidur di katil bayi bersebelah katilnya dan berkata, ketika bangun untuk memeriksa anaknya itu, dia mendapati kanak-kanak itu berlumuran darah.

Erica mengakui terdapat tikus di rumahnya namun dia mahupun Charles tidak melakukan apa-apa untuk menangani masalah itu.

Dalam pada itu, Charles memberitahu polis ketika membersihkan darah dia melihat kesan tapak kaki tikus di katil bayinya itu.

Charles berkata, dia dan Erica menunggu ibunya untuk sampai ke rumah sebelum membawa bayi itu ke hospital.

Pasangan itu kini ditahan.

Polis yang turut menggeledah rumah pasangan itu turut menemui katil bayi yang dipenuhi kesan darah tapak kaki tikus, topi, serta selimut dengan darah serta najis tikus di atas meja sebelah katil.

Bayi berkenaan sebelum itu menjalani pembedahan pembinaan semula muka untuk merawat luka besar di atas kepalanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.