SUNGAI PETANI – Pergerakan seorang bekas tentera kini terhad setelah terkena serangan strok kali keenam dalam tempoh 10 tahun menyebabkannya terlantar sejak 11 bulan lalu.

Abdul Hamid Othman, 70, dari Taman Nilam, berkata, disebabkan serangan berkenaan, dia kini terpaksa bergantung harap kepada isteri dan anak-anak bagi meneruskan kehidupan.

Menurutnya, sebelum ini dia masih boleh berdiri dan berjalan, namun sejak 11 bulan lalu, dia hanya menghabiskan masa di katil.

“Terima kasih atas kunjungan dan sumbangan yang disampaikan Econsave hari ini (semalam),” katanya.

Difahamkan, pencen sebanyak RM1,000 sebulan dan pendapatan isi rumah termasuk anak dan menantu sebanyak RM3,000 sebulan tidak melayakkan dia membuat permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, setelah mendapat perkhabaran berita mengenai penderitaan Abdul Hamid, dia segera menguruskan bantuan bagi meringankan beban keluarga berkenaan dengan menyumbangkan barangan keperluan bernilai RM1,000.