ALOR SETAR – Petani di Kampung Batu 7½, Simpang Empat, dekat sini gusar memikirkan nasib mereka yang bakal berdepan kerugian ribuan ringgit berikutan padi tidak dapat dituai akibat masalah tanah jerlus.

Menurut petani berkenaan, lebih 100 relung (28.8 hektar) menghadapi masalah tanah jerlus yang serius hingga jentera penuai tidak dapat memasuki kawasan bendang sedangkan padi telah masak dan matang.

Seorang daripada petani itu, Mohd Razi Abdullah, 32, berkata dia bakal  menanggung  kerugian hampir RM50,000 jika padi di lebih lapan hektar sawah miliknya tidak dapat dituai dalam tempoh tiga hari lagi.

 “Jika dalam tempoh tiga hari lagi tidak boleh dituai, saya mungkin “gulung tikar” musim ini, sekarang ini kebanyakan padi mula luruh dari tangkai pokok  dan ada yang rosak dan kering,” katanya.

Katanya masalah tanah jerlus berlaku apabila tanah bendang pada musim ini tidak cukup kering menyebabkan tanah menjadi terlalu liat dan menyekat pergerakan jentera penuai di dalam tanah.

Md Isa Abdullah, 70 berkata, padi di dua hektar sawah yang diusahakannya  tidak boleh dituai menyebabkannya kerugian lebih RM7,000.

“Ada yang dah dituai, itu pun banyak kali mesin lekat … padi yang cukup masak tidak boleh dituai sampai sekarang, saya harap pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mengambil tindakan segera bagi membantu petani yang dibelenggu masalah tanah jerlus,” katanya.

Katanya masalah tanah jerlus perlu diatasi segera kerana bukan sahaja petani mengalami kerugian tetapi kerajaan juga apabila hasil pengeluaran padi negara terjejas.

Pengendali jentera penuai, Fakrul Nizam Abd Rani, 27, berkata, masih banyak lagi kawasan sawah  padi belum boleh dimasuki jentera menyebabkan petani merungut.

“Kalau nak dikira musim ini sepatutnya dah habis menuai dan petani dah boleh berkira-kira untuk membajak dan menanam semula padi, tetapi tanah jerlus ini melambatkan proses penuaian. Saya kira tidak sampai tiga hektar boleh dituai dalam masa sehari berbanding lapan hektar pada musim-musim sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Komunikasi Korporat Mada, Mohd Hafizi Zakaria berkata, terdapat beberapa kawasan lain seperti  Permatang Buluh, Sungai Limau dan Guar Chempedak di Yan turut terlibat dengan kejadian tanah jerlus bagi penanaman musim 2/2017 ini.

Katanya, tanah jerlus  disebabkan hujan lebat pada penghujung tahun lepas.

“Buat masa ini, petani dinasihatkan untuk mengeringkan air di kawasan bendang melalui saliran sedia ada kerana keadaan cuaca yang panas bulan ini dan Mac dapat membantu meningkatkan keupayaan galas tanah bendang (upaya tampung beban) dan membolehkan aktiviti mekanisasi (aktiviti penuaian jentera penuai) dijalankan dengan sempurna.

“Kami (Mada)  juga akan membantu mempercepatkan proses pengeringan air  dalam sawah menerusi pam-pam bergerak,” katanya.

Mohd Hafizi berkata  petani juga diminta  menghubungi Pejabat Wilayah Mada dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk membuat aduan berhubung masalah itu untuk tindakan. - Bernama