ALOR SETAR - Seorang guru maut dipercayai terkena serangan jantung ketika sedang memandu berdekatan lampu isyarat di Jalan Sultanah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah  Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.59 pagi  tadi, mangsa, Muhammad Zulkurnain Mat, 58, sedang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) di lorong kanan menghala ke arah Anak Bukit, di sini.

Bagaimanapun, MPV yang dipandu mangsa melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di lampu isyarat merah di persimpangan itu.

“Pemandu pacuan empat roda itu terus turun untuk memeriksa MPV yang melanggarnya sebelum mendapati pemandu kenderaan tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tersandar di tempat duduk pemandu,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Mangsa merupakan guru di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini dan pemeriksaan yang dilakukan terhadap mangsa mendapati mangsa telah meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum kemalangan berlaku.

“Mayat mangsa kemudian di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk dibedah siasat dan kes diklafikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian, Nor Hashim Sunali, 28 berkata, dia sedang menunggu bas di perhentian bas berhampiran sebelum ternampak sebuah kenderaan MPV melanggar sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux sebelum terbabas ke atas penghadang jalan.

“Saya ingat hanya kemalangan kecil, bagaimanapun pelik juga apabila ambulans dan kenderaan polis pergi ke tempat kejadian.

Dia bagaimanapun terkejut apabila melihat seorang lelaki tidak sedarkan diri dan tersandar di tempat duduk pemandu.

Rakan mangsa, Azrul Nizal Man, 40 berkata, mangsa seorang guru yang baik dan berdedikasi mengajar mata pelajaran Biologi di tingkatan enam kolej berkenaan.

“Dia ada pernah beritahu ada masalah jantung, tapi tidaklah serius...apabila dimaklumkan rakan-rakan yang lain bahawa dia meninggal saya terkejut dan tidak menyangka Allahyarham telah pergi selama-lamanya,” katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MACHANG - Seorang pesara guru maut selepas kereta yang dinaikinya terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 49.8, Jalan Kota Bharu - Kuala Krai, berhampiran simpang Batu 30, di sini malam tadi.
  • KUCHING - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terjunam ke dalam lubang sistem saliran dan perparitan yang sedang diselenggara di Padang Merdeka di sini pagi tadi.
  • NILAI - Seorang wanita warga emas dan tiga lagi nyaris maut selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di Jalan Lenggeng-Pantai berhampiran Hutan Lipur Lenggeng di sini, malam tadi.
  • JASIN - Seorang warga emas maut ketika menunggang basikal di Kilometer 30 Selandar-Kesang di sini semalam.