DUNGUN - Kerana kurang pengetahuan mengenai caruman Perkeso yang dibuat oleh arwah suami, seorang ibu bersama tiga anaknya hanya menerima manfaat selepas 13 tahun berlalu.

Zunaida Abdullah, 44, berkata, dia hanya mencuba nasib untuk menyemak kelayakan caruman arwah suaminya selepas dimaklumkan seorang rakan yang mengikuti program seranta anjuran Perkeso Dungun. 

Menurutnya, tidak pernah terlintas di fikirannya mengenai perkara itu dan dalam tempoh 13 tahun selepas kematian suami, dia serta anak-anak sebenarnya layak menerima pampasan sebanyak RM132,779.

“Arwah suami saya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 21 November 2004 dan ketika itu anak bongsu kami berusia enam bulan dalam kandungan.

“Selepas itu saya terpaksa menggalas tanggungjawab besar menyara tiga anak yang kini berusia 12 hingga 17 tahun," katanya.

Zunaida berkata, ketika itu dia langsung tidak terfikir mengenai caruman Perkeso dan pada awal Januari lalu ada seorang rakan menyuruhnya membuat semakan. 

"Bila ke pejabat Perkeso Dungun barulah saya tahu kami anak sebenarnya layak menerima faedah.

"Bayangkan urusan yang berlalu begitu saja dalam tempoh 13 tahun hanya ambil masa kurang seminggu untuk diluluskan," katanya. 

Katanya, dia berterima kasih kepada Perkeso Dungun dan akan memanfaatkan bayaran faedah diterima dengan sebaik mungkin.

"Wang diterima akan digunakan untuk masa depan anak-anak khususnya membiayai pendidikan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyampaikan Cek Faedah Perkeso di Felda Kerteh 3, di sini, baru-baru ini. 

Hadir sama, Pengarah Perkeso Negeri, Nora Yaacob dan Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam.

Seorang lagi penerima, T Rohida Mohamed, 40 berkata, dia bersyukur kerana layak menerima faedah hasil caruman Perkeso yang dibuat arwah suaminya.

"Suami saya baru saja meninggal dunia beberapa bulan lalu selepas serangan penyakit saraf.

"Saya ada tiga anak berusia 11 hingga 18 tahun dan bayaran ini penting untuk biayai pendidikan serta masa depan mereka," katanya.

Menurutnya, bayaran diterima dapat menampung pendapatannya untuk menyara keluarga.

"Alhamdulillah saya terima bayaran pertama pencen sebanyak RM1,440 dan akan berterusan untuk bulan akan datang," katanya.

"Kami berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan melancarkan urusan," katanya. 

Semak kelayakan elak keciciran

Sementara itu, Pengurus Perkeso Dungun, Ariff Rani berkata, sebanyak RM 1.5 Juta faedah dibayar oleh Perkeso Dungun kepada mereka yang layak sepanjang 2016.

Menurutnya, terdapat 1,209 majikan aktif berdaftar di bawah Perkeso Dungun dan 15,491 pekerja. 

“Terdapat 542 kes diproses dan diluluskan pada 2016 merangkumi skim bencana kerja dan skim keilatan.

“Sebanyak RM 1.1 juta dibayar untuk skim bencana kerja, manakala RM 398, 134 bagi skim keilatan," katanya.

Ariff berkata, untuk majlis di Kerteh 3, sebanyak RM184, 910 dibayar untuk empat kes iaitu membabitkan faedah hilang upaya kekal dan faedah pencen penakat.

“Bagi kes seperti Zunaidah, tidak dinafikan masih ramai masyarakat di luar sana yang kurang pendedahan dan informasi mengenai Perkeso.

“Bagi mengelak kejadian seperti ini yang tidak sedar mereka layak menerima faedah, pencarum dan waris digalakkan membuat semakan," katanya.

Katanya, seorang pekerja kilang sawit, Wan Abdul Manan Wan Abdullah yang mengalami masalah pendengaran turut layak menerima pampasan bagi kategori faedah hilang upaya sebanyak RM23,717.

“Seorang lagi penerima, Ramlee Abdullah turut mengalami masalah sama dan dibayar RM25,474," katanya.

Tambahnya, Perkeso sentiasa berusaha memberikan khidmat terbaik kepada pencarum atau waris mereka tetapi apa yang lebih penting aspek keselamatan diutamakan ketika bekerja atau di luar waktu kerja bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Kita juga giat menjalankan pelbagai program kesedaran dan menyampaikan maklumat kepada orang ramai termasuk program seranta kerana masih ramai di luar sana tidak tahu hak mereka sebagai pencarum atau waris,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARAN - Tindakan tegas akan diambil ke atas majikan yang masih gagal mendaftar perusahaan dan pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas amaran dan peringatan diberikan beberapa kali.
  • ALOR GAJAH - "Saya tahu mereka baik-baik tinggal bersama bapa saudara, namun saya lebih bahagia bila adik-adik bersama saya dan setiap hari di depan mata saya," kata anak yatim piatu, Muhammad Izwan Hamzah, 24, yang juga anak sulung dari tujuh beradik.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.