KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu menerima empat aduan berhubung GST selepas cukai itu ditukarkan dari enam peratus kepada sifar peratus bermula 1 Jun lalu.

Ketua Pegawai Penguat kuasa negeri, Zulfamy Mat Udi berkata, dua aduan diterima kelmarin manakala selebihnya pada 1 dan 2 Jun melibatkan kawasan Kemaman dan Kuala Terengganu.

Menurutnya, aduan itu berkaitan pengurangan harga tidak selaras dengan pengurangan GST kepada kosong peratus, harga barangan tidak diturunkan oleh peniaga walaupun cukai adalah sifar dan peniaga masih mengenakan cukai GST sebanyak enam peratus.

“Kita terus pergi ke lokasi sebaik saja aduan diterima dan antara alasan diberikan peniaga adalah tidak tahu mengenai perkara ini. Sebanyak empat amaran dikeluarkan kepada premis ini,” katanya selepas Operasi Catut 4.0 di Giant Hypermarket, di sini hari ini.

Zulfamy berkata, melalui operasi itu yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu, KPDNKK Terengganu telah memeriksa 441 premis peniagaan peruncitan yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meliputi supermarket, kedai runcit dan pasar mini.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 11,550 barangan dan perkhidmatan telah diperiksa termasuk barangan runcit, makanan dan minuman, bulu dan alat tulis, pakaian, produk kecantikan dan kesihatan dan pihaknya turut mengeluarkan Sembilan notis di bawah Seksyen 53A.

“Operasi bersama JKDM ini menyeluruh meliputi kawasan bandar dan luar bandar melibatkan 93 pegawai penguat kuasa di negeri dan cawangan. Operasi ini akan diteruskan dari masa ke semasa termasuk pada hari Aidilfitri.

“Oleh itu kita harap peniaga dapat mematuhi arahan yang telah ditetapkan selaras dengan pelaksanaan perubahan GST bermula 1 Jun lalu dan bagi pihak pengguna pula perlulah mengetahui peranan dan tanggungjawab yang boleh dimainkan supaya hak mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Menurut Zulfamy, mana-mana pengguna yang ingin membuat aduan boleh menghubungi bilik gerakan KPDNKK di talian 09-6204679 (KPDNKK negeri/Kuala Terenganu), 09-6902203 (Besut), 09-8502457 (Kemaman) dan 09-8453586 (Dungun).

“Bilik gerakan yang dibuka pada 1 Jun lalu beroperasi setiap hari sehingga jam 8 malam di KPDNKK negeri dan sehingga jam 6 petang di KPDNKK cawangan,” katanya kepada Sinar Harian.