KUALA TERENGGANU - Pembinaan pusat beli belah berprestij, Mayang Mall di Kampung Ladang Tanjung yang dijangka siap pada 2020 menjadi sebuah lagi mercu tanda dan hab ekonomi baharu di Pantai Timur.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, Mayang Mall merupakan pusat beli belah termoden di Pantai Timur berkeluasan 214,500 meter persegi dibina dengan kos keseluruhan sebanyak RM900 juta.

Menurutnya, projek yang dibangunkan syarikat pelaburan hartanah Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan anak syarikat Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) itu bakal menjadi sebuah pusat beli belah bertaraf antarabangsa.

"Kedudukan strategik Mayang Mall di Jalan Sultan Zainal Abidin di tengah pusat bandar Kuala Terengganu serta bersempadan projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) akan menjadikan ia sebuah kawasan pelaburan hartanah yang berdaya maju dan berpotensi tinggi.

"Kita amat berterima kasih atas kesudian PHB menerokai peluang pelaburan baharu di negeri ini sekali gus bakal merancakkan lagi ekonomi di negeri Terengganu," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Pusat Beli Belah Mayang Mall yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Turut berangkat, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman, Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong, Setiausaha kerajaan negeri (SUK), Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sogo, Toh Peng Koon.

Ahmad Razif berkata, pada Ogos 2015, PHB telah menandatangani perjanjian jual beli dengan kerajaan negeri dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) bagi pembelian plot tanah komersial seluas 10.8 ekar di ibu negeri ini.

"Dengan termeterainya pembinaan Mayang Mall ini, ia akan memberikan peluang pekerjaan kepada 3000 rakyat di negeri ini dan akan merancakkan lagi kegiatan ekonomi di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Kamalul Arifin berkata, Sogo (KL) Department Store Sdn Bhd dilantik sebagai penyewa penuh pusat beli belah ini dan diberi kepercayaan mengurus penyewaan perniagaan, operasi, perkhidmatan produk dan servis.

“Pembangunan Mayang Mall selari dengan pelan jangka panjang PHB bagi membangunkan kawasan berpotensi tinggi di luar kawasan Lembang Klang.

“Kita jangka akan memulakan perniagaan pada 2021 dan dalam perancangan kita akan mengadakan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang setahun sebelum beroperasi,” katanya.

Jelasnya, PHB akan membangunkan tapak ini melalui beberapa fasa merangkumi pusat beli belah, apartmen dan hotel.

“Projek terbahagi kepada dua fasa itu merangkumi pembinaan pusat beli-belah dengan kos RM450 juta dan servis apartmen 15 tingkat di atas pusat beli belah dengan kos RM150 juta. Selain itu, bagi fasa kedua melibatkan pembinaan hotel 16 tingkat dengan jumlah keseluruhan pelaburan bernilai RM900 juta.

"Seni bina Mayang Mall pula dari gabungan rekaan firma arkitek terkemuka, GDP Architects Sdn Bhd dan Lead 8 Pte Ltd (Singapura)," katanya.

Pada majlis itu turut diadakan majlis menandatangani dua perjanjian melibatkan perjanjian pembinaan dan perjanjian penyewaan antara PHB dan Sogo (KL) Department Store Sdn Bhd (Sogo).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA NERUS - Kerajaan negeri mewajibkan semua kakitangan awam, pegawai syarikat berkait kerajaan (GLC) dan pengerusi JKKK di seluruh negeri mendaftar sebagai sahabat Revolusi Anti Rasuah (Gerah).
  • HULU TERENGGANU - Kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu melahirkan ucapan takziah dan rasa dukacita dengan kejadian kebakaran menimpa Pusat Tahfiz Darul Ittifaqah, Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang berlaku pagi tadi hingga mengorbankan 23 mangsa melibatkan pelajar dan warden.
  • KUALA TERENGGANU - Terengganu akan menjadi negeri pertama di negara ini yang akan membuka hab pelancongan di bandar Huaxi, iaitu perkampungan terkaya di wilayah Jiangsu, China dalam usaha menarik lebih ramai pelancong China ke negeri ini.
  • KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Terengganu telah membuat pindaan terhadap dasar Tanah negeri itu bagi menyeragamkan tempoh pajakan tanah kediaman dan perniagaan kepada 99 tahun berbanding 30 tahun dan 60 tahun sebelum ini.
  • KUALA NERUS - Kerajaan Negeri Terengganu menyeragamkan tempoh pajakan tanah kediaman dan perniagaan kepada 99 tahun berbanding 30 tahun dan 60 tahun sebelum ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.