SEBERANG TAKIR - Kerajaan negeri masih menunggu reka bentuk daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum mempertingkatkan kemudahan sedia ada di litar motosikal lasak atau motocross di Gong Badak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ketika ini litar berkenaan digunakan untuk pelbagai kejohanan termasuk pertandingan peringkat Asia.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk menaik taraf kemudahan di litar sukan motosikal lasak ini memandangkan ketika ini litar perlumbaan untuk motosikal yang terletak berdekatan hampir siap.

“Dengan terdapatnya dua litar motosikal lasak dan litar perlumbaan ini diharap mampu melahirkan lebih ramai pelumba yang berbakat besar. Bagaimanapun, kos keseluruhan untuk menaik taraf litar motosikal lasak ini akan ditentukan setelah selesai reka bentuk daripada JKR nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada  Program Konvoi Muhibbah Terengganu Bike Week di Dataran Permata, di sini.

Dalam pada itu, Ahmad Razif turut memaklumkan penganjuran Terengganu Bike Week wajar diteruskan pada masa akan datang.

Tambahnya, aktiviti melibatkan kira-kira 3,000 penyertaan itu diyakini memberi peluang ekonomi yang tinggi kepada rakyat negeri ini.

“Dengan adanya program sebegini secara tidak langsung akan membuka peluang rezeki lebih luas kepada peniaga, di samping dapat memperkenalkan lagi negeri ini.

“Justeru diharap penganjuran aktiviti sihat ini akan diteruskan pada masa akan datang sekali gus menarik lebih banyak penyertaan,” katanya.

Program berkenaan merupakan anjuran Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu yang dinaungi Tengku Seri Temenggung Raja, Datuk Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Kerajaan negeri perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk kos penyelenggaraan sebelum menyiapkan litar lumba motosikal yang dijanjikan di Sungai Petani, persidangan Dun Kedah diberitahu hari ini.
  • SHAH ALAM - Penaung Kelab Bermotosikal Storm Rider, Tan Sri Rozali Ismail mencadangkan agar sebuah litar rakyat bertaraf antarabangsa dibina di Selangor sebagai tempat peminat-peminat permotoran mengasah bakat mereka.
  • KUANTAN - Tiga lokasi yang menjadi ‘litar’ mat rempit sekitar Bandar Pusat Jengka digempur polis cawangan Trafik Kontinjen Pahang dalam Ops Bersepadu Banteras Samseng Jalanan, kelmarin.
  • KUALA TERENGGANU - - Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat membina sebuah litar perlumbaan motosikal bernilai kira-kira RM30 juta pada tahun depan.