DUNGUN - Bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara, lebih 30 nelayan berarak menggunakan bot fiber di Sungai Dungun bertempat di Pangkalan Bot Balik Bukit, di sini, kelmarin.

Selain nelayan tempatan yang mengibar jalur gemilang, program patriotisme itu turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba.

Pegawai Penerangan Daerah Dungun, Che Mat Roplan Salim berkata, program merdeka@komuniti-perarakan jalur gemilang bot fiber itu adalah julung kali diadakan dan mendapat sambutan menggalakkan.

Antara yang terlibat menjayakan program

Menurutnya, para nelayan juga terlibat secara sukarela sebagai menzahirkan rasa cinta terhadap negara dan memeriahkan sambutan hari kemerdekaan negara kali ke-61.

"Program ini dianjurkan Pejabat Penerangan Daerah Dungun dan kita buat kelainan menganjurkan perarakan bot fiber dan tidak seperti kebiasaan berkonvoi motosikal atau sebagainya.

"Walaupun pendekatannya berbeza tetapi objektif sebenar untuk menterjemah semangat cintakan negara tetap tercapai.

"Sambutan yang diterima juga di luar jangkaan dan suasana perarakan di air sudah tentu lebih meriah," katanya.

Sementara itu, wakil peserta, Mohamad Armi Hitam berkata, perarakan bermula di Pangkalan Balik Bukit hingga ke Jambatan Lama Dungun sebelum berpatah balik ke destinasi.

"Golongan nelayan turut teruja dan acara ini bagaikan pesta yang menghangatkan lagi suasana sambutan hari kebangsaan. Secara tidak langsung, erti kemerdekaan lebih dihayati dan difahami.

"Melihat kepada sambutan yang diberi, amat baik sekiranya acara ini dijadikan sebagai salah satu program tahunan," katanya.