KUALA TERENGGANU – BN Dun Ajil menyasarkan kemenangan besar dengan majoriti undi minimum sebanyak 5,024 pada PRU14 iaitu peningkatan pengundi sebanyak 32 peratus berbanding PRU lepas.

Adun Ajil, Ghazali Taib berkata, jumlah tersebut merupakan petunjuk dan panduan kepada Dun Ajil yang mempunyai kira-kira 20,300 pengundi dengan 57 peratus daripadanya pengundi 40 tahun ke bawah, melalui gerak kerja parti bagi mencapai keputusan cemerlang pada PRU akan datang.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah majoriti mungkin melebihi daripada sasaran berikutan kesungguhan dan komitmen ditunjukkan jentera parti yang telah menggerakkan usaha sejak awal.

“Pada PRU lalu, kita dapat majoriti 2,782 undi dengan ada undi rosak dan undi kepada calon bebas. Kalau tiada undi calon bebas dan rosak kita sudah dapat 4,000 (undi majoriti).

“Tetapi pada hari ini kita lebih tersusun, bergerak lebih awal dengan jentera pilihan raya mantap di peringkat cawangan, pusat daerah mengundi (PDM) dan sebagainya. Jadi, mungkin kita mampu melebihi sasaran 5,024, iaitu jumlah sasaran paling minima untuk kita capai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Himpunan Turus PRU14 Dun Ajil, di Hotel Permai, di sini.

Himpunan tersebut merupakan perjumpaan yang melibatkan kepimpinan utama di setiap kampung yang terdiri daripada ketua cawangan, pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), ketua-ketua Pemuda, Wanita dan Puteri Umno cawangan.

Melalui himpunan tersebut, pihaknya turut menyatakan kesiapsiagaan dengan persiapan paling rapi dan tersusun dalam menghadapi kemungkinan PRU14 yang akan diumumkan pada bila-bila masa.

Mengulas lanjut, Ghazali Taib berkata, walaupun tidak tahu tarikh pilihan raya sebenar, pihaknya membuat jangkaan PRU14 akan diadakan lebih awal supaya pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersedia.

“Kita di peringkat kesiapsiagaan maksima. Jika pilihan raya berlangsung pada Mac, jentera kita sudah mantap,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai krisis dalaman di Dun tersebut, pihaknya memberitahu ia berada di tahap paling minimum dan tiada isu besar di kawasan itu lebih-lebih lagi Ajil adalah kubu kuat dan deposit BN.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TANJONG KARANG - Kerjasama wanita parti komponen dalam membantu menyemarakkan kerja Jalinan Rakyat (JR) Wanita Umno Bahagian Tanjong Karang cukup penting bagi mengenal pasti sikap pengundi.
  • KUALA TERENGGANU - Puteri Umno Terengganu diarah menjejaki 54,068 pengundi wanita muda kali pertama di negeri termasuk 3,051 lebih ahli sayap Umno itu yang layak mengundi tetapi masih belum mendaftar sebagai pemilih.
  • SEREMBAN - Adun Temiang, Ng Chin Tsai membuat laporan polis dengan mengaitkan empat individu yang disyaki terbabit dengan perbuatan memindahkan alamat pengundi.
  • PAGOH - Pakatan Harapan sedia membawa isu berkaitan kewujudan senarai nama pengundi baharu yang didakwa ditempatkan di sebuah projek pembinaan kem tentera di Batu Anam, Segamat.