KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) hari ini menafikan berlaku jerebu di sekitar  Klang dan Pelabuhan Klang, Selangor semalam seperti didakwa penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah MET Malaysia, Alui Bahari berkata kali terakhir jerebu berlaku di Klang ialah pada Ogos lepas akibat kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Utara di Selangor.

"Penduduk berkemungkinan berasa seperti berlaku jerebu berikutan cuaca panas kering, kawasan perindustrian yang membebaskan asap dari kilang, pencemaran daripada kenderaan berat seperti lori serta berlakunya aktiviti pembakaran terbuka,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan penduduk di Klang dan Pelabuhan Klang bahawa berlaku  jerebu di kawasan berkenaan semalam.

Alui berkata jerebu lazimnya berlaku di kawasan bandar besar yang aktif dengan aktiviti ekonomi dan perindustrian serta memiliki jumlah kenderaan yang banyak seperti Kuala Lumpur dan beberapa kawasan lain di Lembah Klang dan bandar-bandar lain di seluruh negara.

Alui berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana sekarang merupakan musim tengkujuh dan hujan akan kerap berlaku di seluruh negara sekaligus menghalang kejadian jerebu rentas sempadan.

Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia bermula 13 Nov lepas dan hujan lebat dijangka berlaku di Pantai Timur semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga tahun depan.

Sehubungan itu, MET Malaysia menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dalam menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.

Perkembangan semasa amaran hujan lebat boleh didapati di laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, Facebook: malaysiamet, Twitter: @malaysianmet, perkhidmatan SMS 15888 dan MMD Hotline 1 300 22 1MET (1638).- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MIRI - Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan negeri sedang meneliti untuk meningkatkan keupayaannya mencegah kebakaran tanah gambut yang menyebabkan jerebu di Kuala Baram.
  • JOHOR BAHRU - Kerajaan diharap dapat ambil tindakan dan penyelesaian tegas dalam menangani isu jerebu di negara ini.
  • JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri telah mengarahkan pihak sekolah untuk menghentikan sebarang aktiviti di luar bilik darjah ekoran masalah jerebu yang sedang melanda beberapa daerah di negeri ini.
  • SHAH ALAM - Jerebu yang kerap melanda negara pada pertengahan tahun dilaporkan kembali berulang tengah hari ini.