PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Tujuh warga Bangladesh yang sedang menunggu bas di Jalan 5/1 Sepah Puteri, Seksyen 5, Kota Damansara, di sini hari ini, parah selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu warga tempatan.

Difahamkan, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8.45 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20 hingga 40-an merupakan pekerja pembinaan lebuh raya.

Menurut salah seorang saksi yang juga pemilik gerai makanan berhampiran lokasi kejadian, Bahari Sitam, 58, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas mendengar bunyi dentuman yang agak kuat.

“Sebuah bas Rapid KL berhenti di perhentian bas berkenaan untuk mengambil penumpang sebelum kereta itu dilihat melanggar bas dan beberapa individu warga Bangladesh yang berada di lokasi.

“Melihat kejadian itu, dia bersama beberapa individu lain membantu menarik dua daripada mangsa yang terperosok di bawah kereta terbabit," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Bahari berkata, dia dimaklumkan, pemandu tersebut memandu laju sebelum cuba mengelak bas yang berhenti lalu merempuh kesemua mangsa.

Malah, Bahari juga mendakwa ada rakan kepada mangsa, yang juga warga Bangladesh mengatakan bahawa mereka sepatutnya pergi ke ibu kota, pagi ini untuk membeli persiapan untuk dibawa pulang ke kampung halaman (Bangladesh) kerana mereka dijadualkan akan berlepas ke Bangladesh, malam esok.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kemalangan berlaku dipercayai akibat kereta Proton Satria dipandu lelaki tempatan terbabas kerana mahu mengelak sebuah bas yang sedang berhenti sebelum melanggar mangsa yang sedang menunggu bas.

“Semua mangsa yang cedera termasuk pemandu kereta itu dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.