PANDAN INDAH – Town Park Pandah Indah yang menjadi tumpuan warga kota di sini kini dilihat terbiar dan tidak terurus sejak lebih lima tahun lalu.

Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee berkata, pihaknya telah menerima aduan penduduk berhubung taman berkenaan.

Menurutnya, ketika tinjauan dilakukan di taman itu beliau mendapati kesemua alat permainannya rosak dan tidak boleh digunakan.

“Set integrated playground yang dibina di sini rosak, malah rubber mat yang berada di tapak permainan ini sudah tertanggal dan licin. Saya juga dapati, alat senaman untuk golongan dewasa dan trek joging yang ada di sini juga sudah rosak.

“Jadi ini memang membahayakan, terutamanya kepada kanak-kanak yang datang bermain,” katanya.

Kok Wee berkata, beliau juga terima aduan terdapat seorang penduduk cedera ketika melakukan aktiviti larian di taman itu.

“Penduduk dakwa, ada seorang pakcik telah terjatuh dan cedera masa bersenam dan berlari di sini. Saya rasa mungkin berpunca daripada keadaan trek joging yang sudah pecah dan tak rata,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penduduk juga berharap pihak berkuasa tempatan dapat membina tandas awam di sini.

“Tidak ada tandas awam di sini, bagaimana pengunjung nak buang air. Saya harap MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dapat baik pulih taman ini segera demi kesejahteraan penduduk yang mahu menjalankan aktiviti riadah di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Ayie berkata, dia bimbang untuk melakukan aktiviti riadah berseorangan di taman itu.

“Sebab ada individu dipercayai penagih dadah jadikan pondok di kawasan ini sebagai tempat penagihan. Jadi risau pula nak datang taman ni seorang diri.

“Sebelum ni pula, ada pengunjung pernah terjatuh akibat keadaan trek joging yang licin, saya harap pihak berwajib pandang serius isu ni,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Nik Hussin Nik Ibrahim berkata, dia terkejut melihat keadaan peralatan permainan yang rosak setelah pertama kali datang ke taman ini.

“Saya baru sebulan berpindah kat sini, saya bawa dua anak perempuan saya tapi saya lihat banyak peralatan di taman permainan ini telah rosak.

“Jadi nak bawa anak bermain pun rasa macam tak selamat.

“Sayanglah...tempat ni cantik sebenarnya, tapi alat permainan pula rosak keadaan sekeliling pula macam tak terurus,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kawasan kemudahan awam seperti padang atau taman permainan sepatutnya memberi keselesaan kepada orang ramai terutama kanak-kanak untuk bermain dengan riang dan selamat.
  • NILAI - Kerosakan yang dikesan pada beberapa peralatan permainan di taman permainan awam di Dataran Nilai, boleh mendatangkan kecederaan kepada pengunjung, terutamanya kanak-kanak.
  • KUANTAN - Penduduk Perkampungan Sungai Isap 1, di sini, mohon pihak bertanggungjawab menaik taraf taman permainan yang disediakan sejak 10 tahun lalu agar lebih baik, selamat dan mesra pengguna.
  • JITRA - Seramai 20 kanak-kanak di Taman Pulasan, Jitra, di sini, didakwa berdepan risiko kecelakaan berikutan kewujudan sebuah kawasan ditakungi air selepas tanah di kawasan itu diambil untuk kerja pembinaan taman permainan.