MIRI - Seorang pengawal kelab malam atau bouncer berumur 30 tahun dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah terhadap pertuduhan membunuh Setiausaha PKR Miri Bill Kayong pada Jun 2016.

Hakim Ravinthran N. Paramaguru semasa menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Mohamad Fitri Pauzi, berkata, mahkamah mendapati keterangan keadaan dan fizikal dikemukakan pihak pendakwaan semasa perbicaraan jelas membuktikan tertuduh telah melakukan perbuatan itu.

“Saya dapati tertuduh bersalah atas pertuduhan membunuh,” katanya dalam prosiding di mahkamah yang penuh sesak dengan anggota keluarga dan rakan tertuduh.

Ravinthran berkata, pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan tertuduh mempunyai niat untuk melakukan kesalahan itu dengan telah menguji senapang patah yang digunakan dalam pembunuhan itu di kawasan terpencil dan ini menunjukkan tertuduh membuat persediaan rapi untuk melakukan perbuatan itu.

Beliau berkata, mahkamah tidak dapat menerima hujahan terturuh bahawa senjata api itu digunakan untuk tujuan berburu kerana tertuduh boleh terus pergi ke kawasan berburu tanpa perlu terlebih dahulu menguji senjata api itu di kawasan terpencil.

Mohamad Fitri yang memakai baju sejuk dengan hud berwarna hitam kelihatan tenang semasa jurubahasa memaklumkan keputusan mahkamah itu kepadanya dalam bahasa Malaysia  manakala ada dalam kalangan orang awam yang berada di luar mahkamah dilihat senyum dan menganggukkan kepala selepas hakim membacakan keputusannya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kes Bill Kayong: Polis siasat posting Facebook]

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan  Pendakwa Raya Nur Nisla Latiif manakala tertuduh diwakili peguam Ranbir Singh dan peguam Majen Panyong bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga Bill yang nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah.

Sebanyak 28 saksi pihak pendakwaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan manakala pihak pembelaan hanya memanggil Mohamad Fitri untuk memberi keterangan.

Mohamad Fitri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada  8.20 pagi, 21 Jun 2016 di persimpangan lampu trafik dekat pasaraya E-Mart di jalan pintas Kuala Baram.

Sementara itu, balu Bill, Hasyikin Hatta semasa ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau gembira dengan keputusan mahkamah namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, Mohamad Fitri melaungkan kata-kata kesat berikutan berang terhadap jurufoto media yang  merakamkan gambarnya semasa dia diiringi polis keluar dari kompleks mahkamah itu pada sebelah petang. - Bernama