LABUAN - Jabatan Kesihatan Labuan hari ini menyangkal dakwaan dan tuduhan pembangkang di pulau itu dan menyifatkan isu dibangkitkan merupakan isu lapuk yang dipolitikkan untuk keuntungan politik (political milage).

Lima isu melibatkan hospital iaitu bumbung bocor, penghawa dingin tidak berfungsi, bekalan kuasa yang tidak mencukupi, lot parking yang tidak banyak dan kekurangan pakar perubatan dengan sengaja diketengahkan demi keuntungan politik.

Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata bertentangan dengan dakwaan pembangkang, perkhidmatan dan kemudahan disediakan Hospital Labuan telah meningkat.

“Hospital Labuan dengan visi ‘Labuan Pulau Sihat 2019’ dilengkapi dengan kemudahan perubatan dan pakar mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di pulau ini,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Mengenai bumbung bocor dan penghawa dingin yang tidak berfungsi, beliau berkata peruntukan untuk menggantikan bumbung dan penghawa dingin baharu telah diluluskan dan kerja pembaikan dijangka selesai bulan depan.

“Berkenaan dakwaan bekalan kuasa tidak mencukupi, kita mesti jelaskan di sini bahawa bekalan kuasa pada masa ini mencukupi. Bukan sahaja cukup, kami juga mengambil langkah untuk berbincang dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengenai permintaan bekalan kuasa ke hospital untuk lima hingga 20 tahun akan datang,” katanya.

Dr Ismuni juga menjelaskan bahawa lot parkir di hospital itu kadangkala tidak digunakan berikutan projek pelebaran lot tempat letak kenderaan siap Disember tahun lepas, justeru dakwaan bahawa lot parkir tidak mencukupi adalah tidak berasas.

Katanya 13 pakar melibatkan sembilan bidang kepakaran – penyakit dalaman, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, pembedahan, ortopedik, kecemasan, radiologi, psikiatri dan anesthesia (bius) – ditempatkan di hospital itu.

“Kami menyedari situasi di hospital kami, isu yang dibangkitkan pembangkang adalah isu lapuk yang telah dan sedang diselesaikan secara berperingkat,” katanya.

Ketua PKR Labuan Simsudin Sidek membuat dakwaan itu pada Rabu lepas, mengatakan Kementerian Kesihatan perlu menyediakan peruntukan lebih besar kepada Hospital Labuan untuk meningkatkan perkhidmatannya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri membidas kenyataan pemimpin pembangkang yang menyifatkan Bajet Johor 2018 sebagai bajet pilihan raya sebaliknya menegaskan belanjawan berkenaan merupakan pelan kerajaan negeri mengurus perbelanjaan dan hasil kerajaan.
  • IPOH - “Mereka akan lakukan ‘serangan’ habis-habisan dalam tempoh beberapa bulan ini.”
  • KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah telah menjelaskan semua isu yang dibangkitkan pembangkang, khususnya berhubung usaha pembangunan untuk rakyat dan negeri, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
  • KUALA TERRENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu menerima empat aduan berkaitan penjualan makanan kitar semula dan basi di pasar bazar Ramadan masing-masing di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.