LAHAD DATU - Seramai 11 orang pendatang tanpa izin (Pati) warga Filipina ditahan dalam satu operasi bersepadu dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) awal  pagi tadi.

Komander ESSCom, Datuk Hazani Ghazali berkata dalam operasi jam 3 pagi itu seramai 55 individu diperiksa di kawasan perumahan setinggan di Kampung Betik dan Kampung Jawa dan 11 daripada  mereka ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan meragukan.

"Sebelas  pati itu terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita termasuk tiga kanak-kanak yang kesemua mereka  berumur antara dua hingga 60 tahun," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hazani berkata kesemua tahanan telah dihantar ke Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau untuk tindakan lanjut, sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Beliau berkata Ops Bersepadu yang berakhir 7.30 pagi disertai empat pegawai bersama 23 anggota  termasuk daripada Jabatan Imigresen dan Pasukan Gerakan Am (PGA). - Bernama