IPOH - BUKAN sesuatu yang mudah untuk memastikan sesebuah perniagaan itu bertahan dalam tempoh masa yang lama terutama bagi bidang perkhidmatan.

Namun, seorang usahawan yang membuka firma perunding dan penasihat korporat sejak tahun 1988 mampu bertahan sehingga ke hari ini.

Menceritakan mengenai susah senang mempertahankan perniagaan sejak 30 tahun lalu, Datuk Zahar Hashim, 57, berkata, firma yang dibinanya penuh cabaran dan liku dengan mulanya bertapak di Teluk Intan.

Katanya, pada awal penubuhan, beliau membuat pemasaran dan promosi mengenai syarikat hanya menggunakan motosikal Honda 75 dari Teluk Intan hingga ke Tanjung Malim.

"Masa itu tak banyak firma perunding orang Melayu malah kesedaran orang untuk mendapatkan khidmat perunding ini belum ada.

"Memang pada awalnya susah dan mencabar tetapi berkat kesabaran serta semangat yang kuat hingga kini firma ini masih kekal," katanya kepada Sinar Harian.

Di sebalik usaha tidak putus asa itu, firma yang dikenali sebagai Zahar Advisory Group (ZAG) terus mengorak langkah dengan menubuhkan cawangan baharu di Shah Alam pada tahun 2015 manakala pada tahun sebelumnya menempatkan sebuah pejabat di Bandar Meru Raya, Ipoh selain mengekal pejabat di Teluk Intan.

Zahar berkata, firmanya itu boleh dikatakan sebagai pusat sehenti untuk usahawan dan peniaga bagi mendapatkan pelbagai nasihat berkaitan pengurusan kewangan, percukaian dan sebagainya.

Katanya, sebagai firma milik Muslim, pengiraan zakat perniagaan turut disediakan kepada usahawan atau pelanggan.

Menurutnya, perkara paling mengujakan dan memberikan kepuasan kepada diri dalam menguruskan firma tersebut adalah melihat usahawan atau peniaga yang mendapatkan perkhidmatan mereka berjaya.

"Kepuasan saya sebenarnya melihat usahawan itu berjaya mengembangkan perniagaan mereka. Antaranya ada usahawan yang dulu hanya meniaga di pasar malam tetapi kini dah ada pasar raya sendiri.

"Kita sebenarnya lebih suka mendidik terutama dari sudut pengurusan kewangan kerana saya lihat banyak syarikat atau usahawan bumiputera ini lemah dari sudut itu," jelasnya lagi.

Menurut anak kelahiran Pulau Juar, Kampung Gajah ini, beliau mempunyai hasrat yang besar untuk menjadikan firmanya yang terbesar di utara Semenanjung Malaysia.

Selain itu, beliau turut berimpian untuk membuka satu cawangan di Jakarta, Indonesia bagi membantu usahawan dan peniaga Malaysia yang berada di sana.

Zahar berkata, pihaknya turut berharap suatu hari nanti ZAG akan mempunyai wisma sendiri dan disenarai dalam Bursa Malaysia.

Sementara itu, selain menguruskan ZAG, Zahar turut aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sebagai Yang Dipertua.