IPOH – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu berhati-hati dalam soal kemasukan secara besar-besaran ahli pembangkang ke dalam gabungan itu, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Mohd Azlan Helmi.

Beliau berkata, sekiranya keadaan sedemikian tidak dipantau secara serius, ia boleh memberi kesan kepada cita-cita seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan reformasi untuk kesejahteraan jiwa, minda dan ekonomi mereka.

“Saya melihat perkembangan beberapa ketika ini perlu diperhalusi dengan serius. Kemasukan  secara besar-besaran ahli parti pemerintah yang dahulu yang penuh dengan rasuah dan penyelewengan amatlah membimbangkan, budaya mereka juga sangat berbeza,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd Azlan Helmi berkata, AMK Perak amat yakin bahawa Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu akan memacu kemajuan dan pembangunan yang lebih baik dan memberi kesejahteraan kepada seluruh warga negeri Perak. - Bernama