IPOH - Kerajaan negeri akan menganjurkan Persidangan Ekonomi Sukan bagi membincangkan manfaat sukan dari sudut ekonomi sempena penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-19.

Exco Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata, persidangan itu melibatkan beberapa pihak seperti akademil dan syarikat korporat.

Katanya, penganjuran itu juga mendapat kerjasama Sekretariat Sukma dan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) melibatkan tidak kurang daripada 160 peserta yang akan diadakan di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, esok.

"Kita ingin memberi nafas baru kepada Sukma dan salah satu fokus yang ingin diutarakan melalui Sukma oleh kerajaan negeri ini adalah ekonomi di sebalik sukan.

"Dalam persidangan ini, kita akan bincangkan kesan ekonomi yang didatangkan oleh sukan, tajaan di sebalik sukan dan peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan melalui sukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Stadium Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil daripada persidangan itu pihaknya berharap satu pengiktirafan diberikan kepada sukan sebagai penyumbang ekonomi sekali gus menepis persepsi bahawa sukan hanya membelanjakan duit tetapi tidak kepada ekonomi.

Dalam pada itu, Howard berkata, wartawan yang terlibat dengan Sukma kali ini turut diberikan pengiktirafan melalui pertandingan melibatkan tiga kategori.

"Kerajaan negeri menyumbang RM15,000 kepada penganjuran pertandingan melibatkan kategori  Foto Sukan Terbaik serta Berita Sukan Terbaik bagi kategori media cetak dan Cerita Sukan Terbaik bagi kategori media elektronik," katanya.