KUALA KURAU – Pengusaha dan nelayan pukat kenka di daerah Kerian disarankan mengubah aktiviti perikanan mereka kepada kelas laut dalam atau menceburi industri penternakan ikan sangkar untuk meneruskan kehidupan selepas tahun 2020.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan, Abdul Yunus Jamhari berkata, susulan penguatkuasaan pengharaman pukat kenka oleh Kerajaan Pusat menjelang 2020, hampir 1,000 pengusaha dan nelayan pukat kenka di daerah Kerian perlu akur dengan arahan itu.

Menurutnya, penukaran aktiviti perikanan itu adalah satu langkah baik berikutan aktiviti pukat kenka menjejaskan sumber perikanan di samping mengancam tangkapan nelayan tradisional.

“Perkara itu perlu dibincangkan secara lebih serius demi memastikan kelestarian hidup pengusaha pukat kenka lebih terjamin sejurus pukat itu dimansuhkan sepenuhnya tahun 2020 nanti.

“Tidak dinafikan ramai nelayan pukat kenka bergantung hidup terhadap aktiviti perikanan ini dan pemansuhan pukat kenka turut menjejaskan pendapatan mereka.

“Justeru, kerajaan negeri mencadangkan agar mereka menukarkan operasi sedia ada, sama ada kepada aktiviti tangkapan ikan laut dalam Zon C, yang beroperasi 15 batu nautika dan ke atas atau menceburi bidang memproses ikan laut atau ternakan sangkar,” katanya sewaktu menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 200 penerima bantuan Dun Kuala Kurau anjuran Pusat Khidmat Adun Kuala Kurau, semalam.

Abdul Yunus berkata, pihaknya turut menerima cadangan daripada nelayan pukat kenka terlibat agar lesen mereka dilanjutkan lagi bagi tempoh lima tahun atau pemberian pampasan setimpal setelah penggunaan pukat kenka dimansuhkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak pegawai atasan termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kerajaan negeri juga perlu mengambil kira kepentingan menjaga kebajikan nelayan tradisional atau pantai di daerah ini.

“Tindakan pengharaman pukat kenka disebabkan penggunaan pukat itu menyebabkan 40 peratus tangkapan mereka melibatkan benih ikan yang boleh merosakkan sumber perikanan.

“Selain pukat kenka, penggunaan bubu naga dan pukat sorong turut mengancam kelestarian sumber perikanan negara dan menjejaskan hasil tangkapan nelayan tradisional,” katanya.