TELUK INTAN - Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Teluk Bharu apabila jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Bota Kanan - Teluk Intan, tiba disini sekitar jam 7 malam, hari ini.

Jenazah Pegawai Khas Adun Sungai Manik, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, bersama isteri, Norhaslina Abdul Razak,27, dan adiknya, Nor Azira Ahmad Azzudin, 24, tiba dari Hospital Changkat Melintang, Bota selepas menjalani bedah siasat.

Suasana bertambah hiba apabila ahli keluarga ketiga-tiga jenazah diberi peluang terakhir melihat wajah arwah termasuk anak kepada Nor Al Zaidin dan Norhaslina, Nur Damia Qistina, 4.

Nur Damia yang mesra dipanggil Mia yang masih kecil dilihat tenang menatap muka kedua-dua orang tuanya untuk kali terakhir sambil dipeluk neneknya Nur Hasmah Khalid, 63.

Turut hadir Exco Perak yang juga Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin bersama isteri serta kakitangan Pusat Khidmat Dun Sungai Manik.

Terdahulu Nur Damia sempat menceritakan bahawa emak dan ayahnya ada membelikan dia seluar sekolah untuk sesi persekolahan tahun hadapan.

“Papa dengan mama ada beli Mia seluar sekolah baju belum lagi,” katanya tanpa mengetahui kejadian sebenar menimpa kedua-dua ibu bapanya, ketika ditemui di rumah Nur Hasmah petang tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan hilang kawalan, masuk laluan bertentangan]

Ketiga-tiga jenazah selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Teluk Bharu, Teluk Intan pada jam 8 malam, tadi.

Kesemua mangsa maut selepas kereta yang dipandu Nor Al Zaidin bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan pada jam 6.30 pagi, hari ini.