KUALA SEPETANG - Lebih 3,000 tandatangan berjaya dikumpulkan daripada majoriti penduduk sebagai tanda sokongan kepada bekas Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling yang mahukannya terus berkhidmat.

Penduduk, Rosli Ahmad berkata, tandatangan itu mula dikumpulkan selepas keputusan PRU14 diumumkan menjangkakan jumlahnya akan terus bertambah.

“Tempoh lima tahun yang ditunjukkan sebelum ini sudah membuktikan bahawa beliau seorang wakil rakyat yang dekat di hati rakyat, mempunyai perancangan terbaik demi kepentingan penduduk Kuala Sepetang dan seluruh Dun.

“Saya harap orang-orang yang bertanggungjawab di peringkat atasan dapat melihat semula apa yang telah Yee Ling laksanakan di Dun Kuala Sepetang,” katanya kepada pemberita, semalam.

Rosli berkata, meskipun kawasan berkenaan dimenangi calon BN, seharusnya Yee Ling diberi peluang dan diberi jawatan yang sesuai untuk mewakili rakyat di Dun Kuala Sepetang.

Seorang lagi penduduk, Ooi Ai Heong, 40, yakin, kepimpinan Yee Ling akan membawa lebih banyak pembaharuan di kawasan itu.

“Tempoh lima tahun ini sudah cukup memberikan keyakinan kepada penduduk bahawa dia adalah individu terbaik.

“Jika dahulu majoriti penduduk di Kuala Sepetang adalah orang tua dan kanak-kanak, namun berbeza hari ini apabila ramai dalam kalangan orang muda telah kembali ke kampung halaman.

“Ini kerana, peluang pekerja sudah mula ada dan mereka tidak perlu lagi berhijrah selepas eko pelancongan di sini semakin berkembang,” katanya.

Rizuan Abd Rahman, 44, berkata, Yee Ling adalah seorang wakil rakyat yang mesra dengan semua kaum.

“Tidak kira siapa yang mempunyai masalah, Yee Ling akan sentiasa ada dengan kami,” katanya.

S Navamani, 39, berkata, dia bersama penduduk Kuala Sepetang amat sedih selepas Yee Ling diumumkan kalah pada PRU14 lalu..

“Walaupun dia orang luar, tetapi dia berjaya membuat rakyat di sini sayang kepadanya.

“Saya akui Yee Ling adalah seorang wakil rakyat yang tidak pernah pilih kasih hanya kepada satu kaum sahaja.

“Malah wanita muda ini adalah seorang yang komited dengan tanggungjawabnya,” katanya.