• Mohd Nor Hashim melihat kawasan mendapan di hadapan rumahnya yang mengakibatkan simen pecah. Mohd Nor Hashim melihat kawasan mendapan di hadapan rumahnya yang mengakibatkan simen pecah.
1 /

MANJUNG - Ketenangan sebuah keluarga berehat di rumah mereka di Fasa 2 H Seri Manjung, di sini terganggu apabila terdengar bunyi kuat akibat mendapan tanah di hadapan kediaman mereka, Sabtu lalu.

Mohd Nor Hashim Miswan, 55, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan dua anaknya sedang menonton televisyen sebelum mendengar bunyi kuat itu lebih kurang jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, sebaik sahaja mendengar bunyi berkenaan dia segera keluar dari rumah dan melihat simen di pekarangan kediamannya retak serta pecah akibat mendapan tanah.

"Mendapan tanah berkenaan hanya melibatkan kawasan pagar kediaman saya dan jiran sebelah yang pada ketika itu tiada di rumah kerana pergi bercuti.

"Malah kejadian berkenaan turut disedari seorang lagi jiran yang sedang menjemur kain apabila melihat barang di rumah jiran sebelah kediaman saya tiba-tiba jatuh," katanya kepada Sinar Harian.

Kata Mohd Nor Hashim, kejadian itu adalah ketiga berlaku tetapi kali ini agak teruk malah mendapan berkenaan semakin ketara dari hari ke hari.

Jelasnya, dia membuat laporan polis pada hari kejadian selain memaklumkan kepada pihak bomba bagi memastikan keselamatan dirinya dan keluarga terjamin.

“Saya juga turut memaklumkan perkara ini kepada beberapa pihak berkaitan supaya tindakan segera dapat diambil.

“Kami amat berharap supaya perkara ini dapat diselesaikan segera kerana melibatkan keselamatan dan kehilangan harta benda," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Rodi Mohamad, 39, berkata, dia terkejut apabila melihat kejadian itu setelah pulang dari bercuti.

“Memang ada jiran yang memaklumkan dan kami sangat terkejut kerana bahagian hadapan rumah berhampiran pagar dilihat sudah seperti kolam.

“Besar harapan kami supaya perkara ini dapat diambil tindakan segera sebelum ianya semakin serius dan mendatangkan ancaman keselamatan pula,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Azri Jaafar berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada jabatan terlibat termasuk pemaju, Indah Water dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

“Mereka ini juga telah menghantar wakil dan juruteknik untuk melihat danmengkaji punca berlakunya kejadian berkenaan.

“Kita tidak akan dapat menyelesaikannya masalah ini selagi tidak menemui punca sebenar,” katanya.