TELUK INTAN - Kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Teluk Intan  bukanlah untuk bergasak atau menunjuk-nunjuk kepada mana-mana pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kunjungan itu adalah untuk bersama rakyat Teluk Intan dengan memberikan sesuatu serta memenuhi janjinya.

“PM datang bukanlah hanya semata-mata bawa cerita kalau-kalau seperti kalau dibentuk kerajaan akan ada orang dilantik jadi menteri, tapi tuan-puan tahu yang duk ada di Teluk Intan ini sudah pun menjadi seorang menteri.

“Saya dengar-dengar ada janji malah orang tu syok pula dan difahamkan dalam tweet dia kata kalau dilantik sebagai menteri nak jadi menteri perumahan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah PR1MA Teluk Intan, di Batu 4, Jalan Changkat Jong, semalam.

Beliau berkata, rakyat Teluk Intan perlulah tahu memilih pemimpin mereka kerana penyandang Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong merupakan anak tempatan Teluk Intan.

“Yang ini (Siew Keong) anak Teluk Intan, sorang lagi berpindah-randah dari satu tempat ke satu tempat, orang Perak cakap pikior-pikiorkan ler,” katanya.

Terdahulu Harapan mengumumkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebagai calon Parlimen Teluk Intan bagi merebut kembali kerusi yang dirampas oleh BN pada PRK 2014.

Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mengumumkan sekiranya Harapan memenangi PRU14, Kor Ming akan dilantik menjadi menteri.