• Abu Bakar Hussain Abu Bakar Hussain
1 /

IPOH -  Pas Perak akan meneruskan Himpunan Blackout 505 yang dijadualkan malam ini di Kompleks Pas Tapah, Jalan Bidor.

Pesuruhjaya Pas Perak, c berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan dan permit berhimpun kepada pihak polis untuk penganjuran himpunan berkenaan.

Menurutnya, orang ramai dan pihak berkuasa tidak perlu bimbang dengan perhimpunan berkenaan kerana program-program himpunan anjuran Pas sebelum ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Kita akan patuhi segala peraturan mengikut undang-undang yang disediakan. Pas Kawasan Tapah telah menguruskan semua perkara melibatkan kebenaran pihak berkuasa.

“Setakat yang kita anjurkan sebelum ini, tiada sebarang masalah melainkan ada pihak yang cuba sabotaj atau lakukan provokasi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Abu Bakar berkata, penganjuran himpunan berkenaan bertujuan menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa perkara berkaitan perjalanan PRU13.

Menurutnya, pimpinan-pimpinan yang hadir adalah seperti dimaklumkan sebelum ini termasuk Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Pengerusi PR Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan beberapa pimpinan PR Perak.

“Kepada pencinta demokrasi dan penyokong PR, kita alu-alukan untuk hadir memberikan sokongan serta mendengar amanat daripada pimpinan PR.

“Kita harap penganjuran esok (hari ini) akan menjadi sejarah dan dijangka lebih 50,000 akan membanjiri Kompleks Pas Tapah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak a/l Din Keliaw ketika dihubungi mengesahkan menerima permohonan berkenaan pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, surat kebenaran tidak dapat dikeluarkan kerana pihak penganjur gagal mematuhi Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang menetapkan sekurang-kurangnya 10 hari permohonan dibuat dari tarikh penganjuran.

“Kita akan tempatkan beberapa anggota di situ bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.