KUALA KURAU - Seramai 250 ahli keluarga dari Nesanak Haji Talib dan Hajjah Masnah berjaya dikumpulkan dalam satu program jalinan kasih Hari Raya Aidilfitri.

Dalam pertemuan bermakna itu, empat generasi termasuk cicit keluarga ini berjaya dikumpulkan dalam majlis diadakan di kediaman pusaka keluarga di Kampung Parit Mat Ali, di sini.

Penasihat program, Mat Isa Talib berkata, program himpunan julung kali keluarga ini satu sejarah bagi keluarga mereka.

Menurutnya, perancangan mengumpulkan ahli keluarga keturunan Nesanak ini mula dirancang pada Disember tahun lalu.

“Setelah perbincangan diadakan, satu grup aplikasi WhatsApp diwujudkan dan bermula dari situ kami mula mengumpul maklumat ahli keluarga lain.

“Perancangan teliti serta kutipan dana hanya RM10 bagi setiap keluarga selama lima bulan berturut-turut membolehkan impian menganjurkan program sebegini menjadi kenyataan.

“Pelbagai program sampingan seperti gotong royong memasak gulai kawah, pertandingan memancing, pertandingan boling buah kelapa dan pertandingan anyam ketupat,” katanya kepada media sewaktu ditemui dalam program itu kelmarin.

Mat Isa berkata, selain itu, lebihan kutipan dana juga diwakafkan kepada surau dan masjid kampung di sini.

Menurutnya, keluarga asal Haji Talib ini mempunyai 15 adik beradik termasuk salah seorang yang telah meninggal dunia.

“Kesemua 14 beradik kami berumur dari 40-an hingga 80-an berjaya disatukan dalam program ini.

“Lebih menggembirakan, lebih 45 keluarga termasuk anak, cucu dan cicit kami turut serta.

“Alhamdulillah, hajat kami 14 beradik berkumpul semula di samping mengenali ahli keluarga lain dapat dilaksanakan dengan jayanya. Insya-ALLAH program sebegini diteruskan selama-lamanya agar hubungan sesama ahli keluarga sentiasa berkekalan,” katanya.