JERANTUT - Penduduk Kampung Temim mengharapkan pembinaan sebuah bangunan baharu dipercepatkan bagi menempatkan kanak-kanak prasekolah Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kampung berkenaan yang sudah tertangguh lebih empat tahun.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan rayuan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Temin, Mohd Zanal Ismail yang mengharapkan pembinaan bangunan baharu itu namun masih tiada sebarang tindakan susulan daripada pihak berwajib.

Menurut Mohd Zanal, sejak empat tahun lalu tabika itu beroperasi di ruang balai raya kampung berkenaan yang kecil dan sempit sekali gus kurang keselesaan bagi kira-kira 23 murid prasekolah di situ.

Katanya, lokasi bangunan sebelum ini dikatakan tidak sesuai untuk dijadikan pusat didikan kanak-kanak memandangkan ia berada di kawasan berhampiran hutan, selain strukturnya yang tidak selamat kerana telah terlalu uzur dan disebabkan itu pihak JKKK memutuskan untuk membenarkan tadika berkenaan beroperasi di balai raya.

“Pihak JKKK kini hanya tinggal sebuah lagi bangunan yang lebih kecil bersebelahan balai raya berkenaan untuk dijadikan pusat aktiviti dan mesyuarat JKKK. Permohonan membina bangunan baharu bagi menempatkan tabika berkenaan telah dilakukan dan difahamkan peruntukan telah pun diluluskan, namun dikatakan ia ditarik balik kerana tidak memiliki tapak sesuai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Susulan itu, Mohd Zainal berkata, pihaknya telah berusaha mencari tapak baharu bagi menempatkan tabika baharu itu di mana tapak kosong seluas lebih 0.4 hektar itu berada bersebelahan bangunan bilik mesyuarat JKKK dan balai raya.

“Saya telah meneliti tapak kosong ini termasuk mendapatkan rujukan dari pihak berwajib di mana tapak ini merupakan rizab jalan utama milik kerajaan.  Memandangkan kampung ini sudah mempunyai jalan utama, maka saya berhasrat untuk memohon tanah rizab jalan itu untuk dijadikan tapak tabika baharu nanti,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, tapak ini bukan sahaja sesuai untuk dibina tabika, malah keluasannya cukup untuk membina taman untuk kanak-kanak di kampung tersebut.

“Memandangkan tapak sudah ada, saya harap permohonan untuk mendapatkan kembali peruntukan dapat diluluskan dan pembinaannya dapat dilakukan segera.  Memandangkan mereka menumpang balai raya, kemudahan seperti tandas dan sinki dapur tabika  berada di luar bangunan sedikit-sebanyak menyukarkan pemantauan terhadap murid-murid ketika waktu belajar,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, kepadatan penduduk yang semakin bertambah di kawasan Kampung Temin juga akan menambahkan lagi jumlah pelajar yang ingin memasuki tadika itu nanti.

“Kerana tadika ini kecil, maka pengambilannya adalah terhad justeru ibu bapa yang tinggal dan bekerja di kawasan sekitar terpaksa menghantar anak mereka ke tadika yang lebih jauh selain selain Tadika Kemas.  Saya difahamkan bahawa pihak Tadika Kemas Kampung Temin juga kini telah mula menerima pendaftaran daripada ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka pada sesi tahun hadapan,” katanya.

Tambahan pula menurutnya, jika Tabika Kemas Kampung Temin dipindahkan ke bangunan baharu, pihak JKKK dapat memanfaatkan bangunan balai raya itu untuk aktiviti setempat.

“Bangunan bilik mesyuarat nanti boleh dijadikan pusat kegiatan belia dan bilik gerakan untuk PRU tidak lama lagi. Justeru, kami berharap apa yang disuarakan ini akan dapat perhatian pihak atasan sekali gus dapat memberikan kemudahan pendidikan terbaik untuk anak-anak kampung ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Kes rasuah melibatkan dua pengusaha kebun sayur haram di Cameron Highlands yang didakwa memberi suapan RM39,000 kepada pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua tahun lalu ditangguh 15 Mei depan untuk sebutan semula.
  • GUA MUSANG - Walaupun sudah mampu berjalan dan menyusun langkah, namun hajat besarnya untuk mengerjakan ibadat haji terpaksa ditangguhkan sehingga ke tahun depan, bergantung kepada tahap kesihatan selepas ini.
  • SUNGKAI - Akibat penerbangan yang ditunda beberapa kali, 58 individu memutuskan untuk membatalkan hasrat menjejak kaki ke tanah suci bagi menunaikan umrah.
  • KUALA KUBU BHARU - Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) meluluskan usul penangguhan pelaksanaan sistem parkir berbayar sehingga Jun ini, bagi menyelesaikan beberapa isu bersama kontraktor parkir.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.