KUANTAN - Pengurusan unit Kor Kadet Polis Pahang dituntut untuk merangka strategi serta pelbagai program berkaitan murid.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman berkata, ia bertujuan memperkemas dan memperkasakan identiti serta jati diri murid.

Menurutnya, Kor Kadet Polis Pahang adalah bidang sokongan yang penting serta menjadi pendukung kepada lonjakan pencapaian prestasi akademik di peringkat sekolah.

“Dengan adanya strategi serta program yang dirangka dan dijalankan, ia akan memartabatkan diri murid sebagai modal insan yang mampu memberikan sumbangan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Ia seiring dengan matlamat penubuhan Kor Kadet Polis bagi melahirkan murid yang berdisiplin dan sahsiah terpuji serta cemerlang dalam kegiatan luar bilik darjah seperti unit beruniform, kelab, persatuan, sukan dan permainan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Kecemerlangan Kor Kadet Polis Negeri Pahang di Perkarangan Dewan Badminton Polis Alor Akar di sini, semalam.

Pasukan Kor Kadet Polis ditubuhkan pada 2 Mac 1970 dan sebanyak 56 platun telah dibentuk.

Menurutnya pasukan ini merupakan salah satu kegiatan kokurikulum sekolah menengah sebagaimana yang ditakrifkan di dalam Akta Pelajaran 1961 mengikut Ordinan No 2 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1969, P.K.(A) 487 bertarikh 20 November 1969 yang diselaraskan oleh Polis Diraja Malaysia.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, Program Kecemerlangan Kor Kadet Polis Negeri Pahang akan diadakan di Melaka sebagai tuan rumah mulai 10 Julai hingga 14 Julai ini.

“Seramai 36 pelajar yang terlibat dalam program kali ini. Pelajar-pelajar ini dipilih mewakili setiap daerah dan acara yang dipertandingkan ialah jalan asak, rentas halangan, pandu arah, kawad kaki, menembak dan inovasi.

“Latihan jalan lasak, pandu arah dan kawad kaki akan dijalankan di Markas Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am Kuantan manakala latihan rentas halangan akan dijalankan di Pusat Latihan Khidmat Negara Hijrah Penor, Pekan,” katanya.