KUANTAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang hari ini diberitahu pembinaan Hospital Bera tidak dapat disiapkan mengikut jadual kerana ketidakupayaan kontraktor menyiapkan kerja pembinaan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak berkata, selain banjir besar pada 2014, permasalahan utama kelewatan projek tersebut kerana kegagalan kontraktor menyempurnakan tanggungjawab menyiapkan kerja  yang ditetapkan.

"Berikutan itu, Notis Penamatan Pengambilan Kerja Kontraktor telah dikeluarkan pada 8 Dis tahun lepas dan pihak kontraktor terbabit menerima notis berkenaan pada keesokannya," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Leong Yu Man (DAP-Triang) pada persidangan Dun Pahang di  Wisma Sri Pahang di sini yang ingin tahu mengenai perkembangan kelewatan projek pembangunan hospital tersebut serta langkah yang diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

Hospital yang dijangka siap pada 29 Nov tahun lalu itu telah memulakan kerja pembangunan projek  pada 10 Julai 2012.

Mohd Soffi berkata, bagi menangani masalah itu kerajaan negeri telah melantik kontraktor penyelamat selain membuat penyusunan semula organisasi di tapak bina serta merancang semula pelaksanaan dan mengemukakan penjadualan kerja baharu kontraktor.

Katanya projek pembangunan Hospital Bera itu telah diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia KeSembilan (RMK9) dengan kos RM88 juta dan sehingga Februari lepas sebanyak RM49.9 juta telah dibelanjakan untuk pelaksanaan projek yang telah mencapai kemajuan kerja secara fizikal sehingga 57 itu. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.