KUANTAN - Isu pembinaan bangunan baharu SRJK (T) Ladang Jeram di sini yang tertangguh akan dibawa untuk perhatian Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik bagi tindakan selanjutnya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, isu berkenaan juga termasuk mempertimbangkan cadangan menggantikan kontraktor yang kini berdepan kes di Mahkamah Tinggi selain tidak dapat meneruskan kerja-kerjanya.

Menurutnya, ekoran masalah itu, pembinaan bangunan baharu sekolah berkenaan  yang sepatutnya disiapkan November ini tergendala.

“Kita tidak boleh tunggu kerana projek itu perlu disegerakan. Jadi, cadangannya  tamatkan kontraktor itu dan ganti kontraktor baharu.

“Keadaan sekolah ini cukup daif kerana beroperasi dalam kontena yang diubahsuai jadi pembinaan baharu perlu disegerakan untuk keselesaan 45 murid dan guru,” katanya ketika ditemui di sini.

Saifuddin yang merupakan Menteri Luar berkata, pembinaan sekolah itu berdepan beberapa isu hingga tertangguh dan gagal disiapkan mengikut tarikh sepatutnya.

“Hasil perjumpaan saya bersama pihak sekolah, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta pihak kontraktor semalam, masalah itu disebabkan kelewatan kerja tanah  ekoran masalah pemindahan hak milik dan status tanah berkenaan.

“Bagaimanapun isu itu sudah selesai dan kerja-kerja tanah sudah disiapkan namun timbul pula isu melibatkan kerja-kerja pembinaan,” katanya.

Katanya, masalah itu tidak melibatkan peruntukan kerana dananya sudah diluluskan pihak kementerian.

“Kemungkinan ia juga memerlukan penambahan peruntukan ekoran kelewatan ini. Jadi saya akan bawa isu ini kepada menteri berkaitan dan isu kos itu terserah atas pertimbangan kementerian pendidikan,” katanya.

Menurutnya, beliau sendiri bersimpati dengan nasib murid di sekolah berkenaan yang terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa.

“Selain ruang kelas dalam kontena, pihak sekolah juga ada membuat tambahan ruang namun keadaannya panas kerana beratap zink tanpa siling," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut meluluskan bantuan awal RM10,000 untuk kos membaiki kerosakan siling bilik darjah.