KUANTAN - Semua 43 stesen minyak Shell di negeri ini akan dilengkapi sistem asas keselamatan atau butang kecemasan dikenali sebagai I Alert menjelang penghujung tahun ini.

Melalui Program Titik Selamat atau Go To Safety Points (GTSP) di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu, sebanyak 20 buah stesen minyak Shell di Pahang  setakat ini dilengkapi I Alert termasuk lapan di Kuantan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Abdul Ghani berkata, pihaknya dimaklumkan, 23 lagi masih dalam proses pemasangan oleh syarikat minyak itu secara berperingkat.

“Dengan adanya sistem ini, ia memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan bantuan keselamatan semasa berada dalam keadaan kecemasan khususnya berkaitan jenayah," katanya selepas melancarkan GSTP PDRM-Shell Peringkat Negeri Pahang di Stesen Minyak Shell Bukit Setongkol di sini, semalam.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Riduan Hashim, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Azman Ismail, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Senior Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh.

Sharifuddin berkata, stesen minyak Shell menjadi penghubung antara mangsa jenayah atau individu dalam kecemasan dengan pihak berkuasa termasuk polis, hospital dan agensi penguatkuasa berkaitan.

“Orang ramai boleh datang ke stesen minyak Shell berdekatan untuk minta bantuan sekiranya berdepan kes kecemasan atau menjadi mangsa jenayah manakala petugas stesen minyak akan menekan butang I Alert sebagai respon.

“Maklumat awal akan diterima pusat kawalan Shell di Kuala Lumpur sebelum memaklumkan kepada  pihak polis dan sebagainya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, tanggung jawab polis dalam GTSP ini adalah melaksanakan rondaan dan lawatan berkala di premis stesen minyak manakala jika berlaku kecemasan, anggota akan tiba ke lokasi itu dalam tempoh 10 minit  untuk membantu mangsa.

Sementara itu, Azman berkata, GTSP adalah sebahagian usaha Shell meningkatkan kesedaran keselamatan dan mengeratkan hubungan kerjasama dengan polis.

“Dengan rangkaian runcit seluruh negara, Shell dilihat sebagai ikon kepada orang ramai untuk mencari pelindungan bersifat sementara dalam kes-kes kecemasan.

“Pengurusan Shell akan memberikan latihan kepada semua pengedar dan pekerja berhubung peringkat asas termasuk tatacara penyaluran maklumat kepada pihak berkuasa, menjalankan tangkapan oleh orang awam dan hak mempertahankan diri berlandaskan undang-undang dan cara menenangkan mangsa yang berada dalam keadaan trauma,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GUA MUSANG - Kerajaan perlu mempertimbangkan beberapa kemudahan di Dun Nenggiri memandangkan penduduk di Dun ini tidak menikmati kemudahan asas yang baik.
  • KUALA PILAH - Sebuah stesen minyak yang beroperasi di pekan Johol, di sini, mencatatkan sejarah tersendiri kerana sudah beroperasi sejak 80 tahun lalu dan khidmatnya masih diperlukan sehingga kini.
  • JERTIH - Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental mengamuk di sebuah stesen minyak di Seberang Jertih, di sini, awal pagi tadi.
  • JOHOR BHARU - Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Assisten Komisioner Sulaiman Salleh menafikan kejadian kebakaran di sebuah stesen minyak di Mount Austin petang tadi berpunca daripada tindakan pengganas.
  • JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Seorang kakitangan syarikat pengeluar bahan api maut selepas kabin menyimpan dan alat mengawal tekanan 'compressor bay’ untuk kegunaan pam gas NGV di sebuah stesen minyak di Mount Austin di sini terbakar dan menyebabkan letupan, petang tadi.