MARAN - Orang ramai dinasihatkan berhati-hati pada musim panas kerana boleh menyebabkan kebakaran kepada alam sekeliling.

Ketua Polis Maran, Mazlan Hassan berkata, lebih-lebih lagi dalam membuat pembakaran terbuka dan pembuangan puntung rokok di tempat-tempat yang boleh menjadi punca kebakaran.

Menurutnya, peringatan ini berikutan berlakunya kejadian kebakaran di kawasan belukar belakang kuarters klinik kesihatan Maran, malam tadi.

"Berdasarkan siasatan di lokasi disyaki kebakaran berlaku akibat percikan api pada daun kering yang terhasil akibat cuaca panas yang melanda sejak akhir-akhir ini.

"Punca sebenar kebakaran di belukar belakang kuarters tersebut masih dalam siasatan. Mujur tiada kemalangan jiwa berlaku dan nilai kerosakan alam sekitar tidak dapat dipastikan lagi," katanya kepada pemberita, pagi tadi.

Menurutnya, kejadian yang berlaku jam 8 malam itu melibatkan kawasan seluas 1.5 ekar, dengan luas kawasan kebakaran dalam 20x30 meter  iaitu di tanah hak milik  Kementerian Kesihatan Malaysia dan kawasan ini merupakan kawasan yang dipagar sepenuhnya.

Mazlan berkata, bertindak dari maklumat awam, sepasukan anggota Bomba terdiri dari Bomba dan Penyelamat Maran bersama sebuah Jentera telah bergegas ke lokasi kebakaran dan tiba pada jam 8.10 malam.

Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh 50 minit.

"Tiada laporan polis diterima berhubung apa-apa kemalangan jiwa dan lain-lain yang berkaitan kebakaran tersebut," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • REMBAU - Seorang suri rumah tidak menyangka bunyi desiran yang disangka pada mulanya bunyi daun pokok kelapa yang ditiup angin kuat rupa-rupanya adalah bunyi api yang sedang marak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.