MELAKA TENGAH - Berita fitnah yang tersebar mengenai akan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dun Rembia sebagai satu tindakan kehabisan modal.

Adun Rembia, Muhammad Jalaini Khamis yang juga Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri berkata, individu yang menyebarkan berita tidak sahih itu juga sebenarnya bertujuan menganggu gugat pentadbiran kerajaan neger sedia ada.

Menurutnya, biarpun terpalit dengan isu fitnah tersebut, beliau akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab diamanahkan seperti biasa termasuk membela nasib rakyat dalam Dun Rembia.

"Saya tahu mesti ada kepala yang menyebarkan berita tersebut, sehinggakan mereka sanggup menyerang isu peribadi.

"Saya akan lihat sejauh mana perkara ini, dalam masa yang sama tidak menolak akan ambil tindakan kepada penyebarannya dan tindakan yang bagaimana itu tunggu dan lihat," katanya ketika dihubungi tadi.

Berita tidak sahih di media sosial seperti aplikasi WhatsApp dan Facebook itu dipercayai disebarkan individu tidak bertanggungjawab mengenai kelayakan Muhammad Jailani di dalam kerajaan disebabkan mempunyai tiga isteri dan salah seorang isteri tersebut bernikah di sempadan dan tidak didaftarkan di negara ini sejak beberapa hari lalu.