TAMPIN - “Terima kasih pada polis yang menemui beg mak saya... wang tunai hampir RM1,800 tiada berkurangan dan dokumen juga tak hilang...,” luah Lim Win Ru, 31, apabila dihubungi Sinar Harian, di sini, tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Chong Sik Kim, 60, terlupa dompet yang diletakkan di bonet hadapan kereta semasa menguruskan cucunya untuk keluar dari rumah mereka di Bukit Beruang dan hanya menyedari sebaik tiba di Cheng, Melaka.

Dompet berkenaan ditemui di tepi jalan oleh anggota gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Konstabel Mohamad Nor Fahami Abd Kadir, 30, di tepi jalan ketika sedang membaiki motosikal rakan seanggotanya pada jam 12.45 tengah hari.

Menurut Win Ru, sebaik sedar dompet berkenaan telah tercicir, maknya menghubungi jiran untuk melihat sama ada dompet berkenaan tercicir di kawasan rumah.

“Jiran kata tak ada dan sebaik kami pulang ke rumah, dompet mak tak ditemui... belum sempat kami mahu membuat laporan polis, kami menerima panggilan daripada polis yang telah menemui dompet mak di kawasan sempadan Tampin dan Pulau Sebang.

“Walaupun kami masih hairan hingga kini bagaimana dompet mak boleh sampai ke Tampin, kami berasa sangat gembira dompet telah ditemui,” katanya.

Win Ru berkata, dia berasa lebih lega apabila dompet berkenaan ditemui oleh individu yang jujur dan berjaya menghubungi maknya untuk memulangkan kembali dompet berkenaan tanpa sebarang kekurangan.

“Waktu Tahun Baharu Cina memang kita selalu perlu wang tunai yang banyak untuk perbelanjaan... jadi ada angpau di dalamnya,” katanya. Menurutnya, dia amat berharap agar sikap jujur yang ditunjukkan oleh anggota polis berkenaan dapat dicontohi oleh orang lain.