MELAKA TENGAH - Pengasas Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah, Rahmah Dollah, 73, meninggal dunia akibat sakit jantung ketika menerima rawatan di Hospital Melaka di sini, awal pagi hari ini.

Anak ketiga Allahyarhamah, Junaidah Jalil, 43,berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.57 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital pada hari raya kedua, dua minggu lalu.

“Emak memang menghidap sakit jantung lebih enam tahun lalu dan pada hari raya kedua dia mengadu sakit dada sebelum keluarga terus menghantarnya ke hospital.

“Dia mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) selama lima hari. Ibu kemudian sedar dan dipindahkan ke wad biasa selama tiga hari sebelum dia tiba-tiba diserang sakit jantung semalam dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Limbongan Permai di sini, hari ini.

Sebahagian anak Allahyarhamah, Rahmah Dollah menyiram air di pusara ibunya di Tanah Perkuburan Islam Limbongan Permai, hari ini.

Katanya, ekoran keadaan kesihatan ibunya, Rahmah sebelum ini juga tidak lagi terlibat dalam kerja-kerja perniagaan kuih keria dan hanya memantau perkembangan dari rumah.

“Perniagaan kuih keria di kedai Hajah Rahmah memang diuruskan oleh saya manakala satu lagi kedai Haji Jalil, yang juga milik keluarga kami diuruskan oleh adik-beradik yang lain,” katanya.

Perniagaan Kuih Keria Antarabangsa Hajah Rahmah diperkenalkan sejak tahun 1979 oleh Allahyarhamah dan menjadi lokasi popular bagi pengunjung yang bertandang di Melaka untuk menikmati kuih tradisional berkenaan.