SENAWANG – Bukan hanya satu kes, sebaliknya 21 kes samun dan pecah rumah berlaku di D’Latania Taman Bandar Senawang, di sini sejak taman perumahan terbabit dibuka tahun lalu.

Terbaru, dua rumah di taman perumahan berkenaan dipecah masuk serentak, manakala empat lagi cuba dimasuki namun gagal dalam kejadian awal pagi semalam.

Keadaan itu membuatkan penduduk di taman berkenaan mula resah dan hidup dalam ketakutan akibat kejadian semakin menjadi-jadi itu.

Salah seorang mangsa, Norazri Arifin, 27, berkata, kejadian disedari kira-kira jam 4 pagi, selepas dia bangun dari tidur.

Menurutnya, sebaik saja meluru ke bahagian ruang depan rumah, dia dapati pintu utama dan gril pintu terbuka dengan sendirinya dan mula mengesyaki sesuatu buruk telah berlaku.

"Saya dapati tiga telefon bimbit dan wang tunai RM100 yang diambil dari dompet saya yang dijumpai di luar pintu dapur. Kerugian dianggarkan lebih kurang RM3,200.

“Saya tidak sangka bagaimana ia boleh berlaku sedangkan emak dan adik lelaki saya tidur di bahagian ruang tamu, bagaimana pencuri begitu berani masuk rumah yang penghuninya tidur di ruang depan," katanya.

Norazri turut yakin kegiatan jenayah ini dilakukan seseorang yang mempunyai ilmu pukau memandangkan tiada sesiapa sedar dengan kejadian terbabit.

Kenyataan Norazri itu turut disokong Johari Manap, 61, seorang bekas tentera apabila rumahnya turut dimasuki pencuri sekitar jam 3 pagi, semalam dan ia hanya menyedarinya kira-kira jam 3.50 pagi, sewaktu dia bangun untuk makan ubat.

“Sebaik sahaja saya menuju ke dapur, saya dapati pintu belakang terbuka, malah pintu pagar juga terbuka dan tiada sebarang kesan umpilan di kedua-dua pintu serta mangga berkenaan.

“Saya yakin, pencuri itu adalah seorang yang handal dan pakar dalam kerja-kerja membuka kunci pintu rumah selain mempunyai ilmu pukau,” katanya.

Lebih menghairankan katanya, apabila beg tangan isteri yang berada di sebelah katilnya juga berjaya diambil.

“Cuba bayangkan, bagaimana beg tangan isteri saya boleh diambil dengan mudah, sehinggakan isteri saya tidak sedar, sedangkan sebelum ini dia seorang yang terlalu sensitif.

“Pencuri berkenaan berjaya ‘melangkahi’ isteri saya yang sedang tidur dengan mudah sebelum mengambil duit bernilai RM260 berserta telefon bimbit,” katanya.

Johari berkata, nyawa mereka sekeluarga kini berada dalam keadaan tidak selamat, memandangkan pencuri tersebut sekarang ini masih bebas dan sedang bergiat aktif menjalankan kerja-kerja jenayah.

Menurutnya, kejadian ini semakin berleluasa walaupun terdapat pengawal keselamatan yang bertugas di taman perumahan itu.

"Penduduk perlu membayar yuran perkhidmatan pengawal keselamatan sebanyak RM30 sebulan dan sepatutnya perkara ini tidak terjadi.

“Selain mengharapkan pihak berkuasa mengambil tindakan, kami juga mendesak kepada pihak pemaju membantu menyelesaikan perkara ini, dan jangan hanya berdiam diri begitu sahaja,” katanya.

Berikutan kejadian itu juga, penduduk mengadakan piket aman di hadapan pejabat pemaju sebagai tanda protes terhadap pemaju yang didakwa bertindak lepas tangan.