SEREMBAN - Pihak pembangkang tidak menafikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai auranya yang tersendiri sebagai pemimpin yang berkaliber dalam menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, dalam berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang, ia bukanlah dilihat dari soal ketokohan dan keperibadian yang ada pada seseorang pemimpin itu, sebaliknya lebih kepada soal parti yang boleh membela nasib rakyat.

Ketua Pembangkang, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau tidak nafikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai kelebihannya tersendiri sebagai pemimpin nombor satu kerajaan negeri.

"Saya juga pernah memberi kredit dan pujian terhadap pentadbiran Kerajaan negeri yang diterajui beliau di mana menunjukkan kecemerlangan yang baik sekali dalam urus tadbir.

"Tetapi dalam PRU ia bukan soal ketokohan dan keperibadian pemimpin. Pola pengundi kini lebih ke arah melihat kepada kehidupan rakyat ketika ini.

"Hari ini jelas, rakyat terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi, GST, selain isu-isu yang melanda kepimpinan kerajaan BN. Rata-ratanya menolak Barisan Nasional (BN) atas isu-isu yang melanda. Ia turut sama memberi kesan kepada rakyat di Negeri Sembilan," katanya di sini.

Beliau berkata, sistem dalam PRU bukanlah mengikut kepada sistem Presiden.

"Meskipun Menteri Besar, Mohamad Hasan begitu popular dan mempunyai pengaruh kuat di dalam kawasannya dan Parlimen, tetapi aura 'Tok Mat' itu tidak memberi impak pun pada kerusi-kerusi Dun yang lain. Beliau hanya 1 daripada 36 kerusi Dun.

"Apa yang jelas, faktor keperibadian seseorang pemimpin itu bukanlah satu-satunya faktor penyebab yang boleh mempengaruhi pilihan pengundi.

"Dan jika keperibadian pemimpin itu menjadi kayu pengukur kemenangan BN, imej negatif yang terpalit pada keperibadian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, nyata rakyat secara terang-terangan telah menolak beliau dan BN,"katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno negeri, Datuk Norhayati Omar, berkata, sememangnya aura Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjadi tarikan kepada seluruh lapisan masyarakat di Negeri Sembilan termasuk dari kalangan golongan anak muda.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan, kenegerian Tok Mat itu sendiri, sebenarnya menjadi sentuhan dan sampai kepada masyarakat.

"Pada saya, keperibadian Tok Mat itu boleh menambat hati rakyat.

"Ditambah dengan dasar-dasar yang dibuat termasuk dasar pembangunan 30 tahun turut menjadi pendorong kepada seluruh kepimpinan negeri memberi sokongan kepada beliau bagi membolehkan ia menjadi realiti.

"Ternyata nilai tambah berserta sokongan itu dapat diterjemahkan dan seterusnya mampu membantu Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan pada PRU akan datang,"katanya.