SEREMBAN - Nilai pelaburan baru dalam sektor perkilangan di negeri ini mencatatkan jumlah kira-kira RM3.4 bilion sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan RM1.1 bilion berbanding RM2.3 bilion bagi tempoh Januari hingga Mei lalu.

"Pencapaian setakat ini amat memberangsangkan, malah kita telah jauh melepasi sasaran pelaburan baru sebanyak RM1 bilion yang ditetapkan untuk tahun ini. Pada masa ini, Negeri Sembilan menduduki tempat keempat dari segi pelaburan baru dalam sektor perkilangan di negara ini,” katanya.