SEREMBAN - Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Sudahlah bakal hilang mata pencarian, elaun bulan Mei sepatutnya  dapat pada 15 Mei lalu masih belum diterima.

Itulah nasib malang menimpa 14 pekerja sebuah syarikat pengeluar roti berpusat di Shah Alam, Selangor yang difahamkan telah berhenti operasi sejak 24 Jun lalu.

Situasi itu menyebabkan mereka yang bertugas di cawangan Negeri Sembilan sebulat suara membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja di Wisma Persekutuan, di sini, semalam.

Ketua cawangan, Mohd Rosli Kassim, 54, mendakwa tindakan sedemikian terpaksa diambil memandangkan pihak syarikat hanya berjanji mulut.

"Mereka janji nak bayar hari ini (semalam) atau esok (hari ini). Tapi tak ada sebarang hitam putih.   

"Elaun ini melibatkan kerja lebih masa, komisen, petrol dan pelbagai lagi. Bukan sikit kerana seorang patut terima antara RM1,000 dan RM3,000. Itu tak termasuk gaji pokok,” katanya ketika membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja, Wisma Persekutuan, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Parti Sosialis cawangan Seremban, S Tinagaran.

Bagaimanapun, katanya, Jabatan Tenaga Kerja menasihati mereka supaya menunggu dahulu mengikut tempoh dijanjikan pihak majikan iaitu paling lewat hari ini.

"Kalau masih tak dapat juga elaun selepas tempoh dijanjikan, barulah kami failkan kes di jabatan berkenaan.

"Tapi untuk gaji bulan Jun, separuh daripadanya dah dibayar melalui cek,” katanya.

Dia turut menyifatkan tindakan syarikat memberhentikan kerja secara tergesa-gesa adalah tidak wajar.

"Patutnya pihak atasan panggil semua ketua cawangan dan terangkan situasi sebenar. Ini tak, tiba-tiba bagi sebulan notis masa ambil gaji pekerja pada 24 Jun lepas,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka hanya akan memfailkan kes berhubung masalah itu selepas tempoh notis pemberhentian berakhir pada bulan depan sekiranya tidak memperoleh segala pampasan yang sepatutnya diterima.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan, S Tharumarajan berkata, pihaknya memberikan nasihat kepada mereka bagi menyelesaikan masalah itu.

"Mengenai soal elaun, mereka boleh failkan kes mengikut Seksyen 69 Akta Kerja 1955 sekiranya majikan tidak menepati janji. Begitu juga dengan isu pemberhentian. Sesyen sama juga diguna pakai.

"Tapi secara teknikalnya, mereka masih lagi pekerja syarikat itu buat masa sekarang. Tindakan untuk menuntut pampasan dan sebagainya hanya boleh diambil selepas tempoh sebulan seperti tertera dalam notis pemberhentian kerja, berakhir," katanya.

Terdahulu di Shah Alam, seramai 60 pekerja kilang pengeluar roti tempatan tuntut ganti rugi daripada majikan mereka kerana diberhentikan serta merta tanpa notis awal.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEMPORNA - Kerajaan memperuntukkan RM202,500 bagi pembayaran elaun sara hidup kepada 735 nelayan di Semporna, dalam usaha mengurangkan beban hidup golongan berkenaan.
  • KUANTAN - Seramai 829 daripada 1,700 nelayan sungai di Pahang menerima elaun sara hidup RM200 sebulan disediakan kerajaan bagi meringankan beban mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.