KETEPIKAN seketika gajet dan telefon pintar, warga Kampung Sungai Dua Besar beralih tumpuan kepada Fiesta Bokubang yang menyediakan aktiviti permainan tradisional, sekali gus mengimbau memori zaman kanak-kanak.

Antara aktiviti air yang menjadi tumpuan penduduk seperti, pukul bantal atas air, basikal titi, tangkap itik, lumba kayak, boling kelapa, acara tarik tali serta sukaneka.

Fiesta Bokubang yang julung kali dianjurkan JKKK Sungai Dua Besar, Umno Cawangan Sungai Dua Besar, Kelab BMW Motorrad Malaysia, Kelab Belia 4B dan Masjid An Nur itu dihadiri kira-kira 500 penduduk dalam serta luar kampung.

Pengerusi JKKK Sungai Dua Besar, Abdul Rahim Sudin berkata, pada awalnya, program berskala kecil itu sekadar aktiviti mengoca.

“Aktiviti mengoca diadakan sejurus air kolam di Laman Nurani dilepaskan. Namun timbul pula idea lain untuk mempelbagaikan aktiviti sukan air.

“Ini kerana, zaman kini, ramai remaja tidak mengenali permainan tradisi dan tak tahu bagaimana orang dahulu mengisi masa lapang tanpa teknologi canggih.

“Justeru, JKKK mengambil inisiatif memperkenalkan kembali permainan itu sempena penganjuran Fiesta Bokubang di sini,” katanya.

Menurutnya, kesemua pertandingan terbuka kepada sesiapa yang ingin mencuba kelainan permainan tradisi berkenaan.

Seronok apabila dapat berkubang dalam kolam dalam cabaran menangkap itik.

“Kita anjurkan pesta ini untuk orang kampung. Sambutan pun di luar jangkaan meskipun perancangan aktiviti hanya mengambil masa sebulan saja.

“Semestinya kami menggalakkan semua penduduk terlibat, sama ada dalam aktiviti sukan air mahupun terlibat dalam perniagaan. Ini kerana, pesta ini menyediakan tapak untuk berniaga bagi orang kampung dan orang luar.

“Dalam masa kita berhibur, kita juga boleh menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Pulang ke kampung untuk turut serta

Idea penganjur mengadakan Fiesta Bokubang itu turut mendapat reaksi positif penduduk kampung.

Muhamad Shahrul Nizam Abd Razak, 28, berkata, permainan warisan mempunyai falsafah dan tarikan tersendiri selain dapat mengimbau nostalgia silam.

Gelagat peserta menyertai permainan pukul bantal atas air di Laman Nurani, kelmarin.

“Buktinya ia bukan saja membabitkan kanak-kanak, tapi golongan dewasa seperti saya tak melepaskan peluang menyertai aktiviti diadakan.

“Antara yang dipertandingkan ialah permainan basikal titi, pukul bantal atas air, boling kelapa, tarik tali yang mendapat sambutan hangat,” katanya yang turut menjadi peserta.

Bagi anak perantau, Zariq Syafiq Abdul Rahim, 24, pula, kepulangannya ke kampung halamannya semata ingin mencuba sukan air yang jarang ditemui di ibu kota.

“Saya bekerja di Kluang dan pulang ke kampung ini, semata-mata mahu bermain sukan tradisi. Pasti tidak akan jumpa permainan seumpama ini di mana-mana, kerana ia semakin pupus.

“Meskipun di kelilingi zaman kecanggihan teknologi, tetapi apa yang pasti, permainan tradisi ini boleh menghilangkan tekanan dan menghiburkan.

“Mendengar kanak-kanak bersuka ria, gelak tawa orang kampung bersorak, ia cukup memberi kepuasan dan kegembiraan kepada pengunjung,” katanya.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BALING - Program sukaneka anjuran Pas Cawangan Kampung Teluk Sanau Batu 7 bersama tiga cawangan Umno minggu lalu dieksploitasi musuh Pas dengan menimbulkan tafsiran negatif.
  • PONTIAN - Ketibaan musim air pasang besar memberi peluang kepada penduduk kampung Mukim Serkat menganjurkan sukaneka air di Jeti Nelayan Pengkalan Penghulu Serkat, pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.