KOTA BHARU - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang warga emas yang terperangkap dalam kediaman ketika kebakaran di Kampung Gong Dermin di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam kira- kira jam 5.30 petang itu, mangsa  Mesah Awang Ngah, 80, turut berada di rumah terbabit bersama tiga lagi wanita namun ketiga-tiganya berjaya menyelamatkan diri.

Kebakaran terbabit mengakibatkan bahagian daput kediaman untuk mengalami kerosakan hampir 15 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh,  Pegawai Bomba Tinggi, Azmi Mohamed berkata,  pihaknya menerima panggilan pada jam 5.55 petang dan sampai di kawasan kejadian kira-kira jam 6 petang.

"Dengan kekuatan 16 anggota termasuk pegawai bomba bantuan, sembilan serta bomba sukarela kita berjaya mengawal kebakaran dari terus merebak kira-kira jam 6.15 petang.

"Operasi tamat kira-kira jam 6.32 petang dan kita turut memberi bantuan pernafasan kepada warga emas terbabit dengan menggunakan bantuan pernafasan khas," katanya.