KOTA BHARU - Sesi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 di Kelantan berjalan lancar meskipun sebahagian kawasan dilanda banjir, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Muhammad Zahari Othman.

Muhammad Zahari berkata persiapan awal telah dilakukan bagi memastikan semua calon tidak terkandas daripada menduduki dua peperiksaan penting itu.

"Kita telah membuat persiapan sebelum ini melalui mesyuarat bersama dengan agensi kerajaan lain, badan bukan kerajaan dan pihak sekolah termasuk menempatkan pelajar lebih awal di asrama," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata sesi peperiksaan juga telah berakhir di kebanyakan sekolah, namun tiada pusat pembelajaran yang terbabit dengan kedua-dua peperiksaan itu dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir.

Seramai 31,376 orang calon menduduki SPM di Kelantan membabitkan 273 pusat peperiksaan manakala 14,193 pelajar menduduki STPM di 59 pusat peperiksaan yang bermula serentak 6 November lepas.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Zahari berharap orang awam tidak menularkan berita yang tidak tepat berhubung peperiksaan tersebut termasuk dakwaan terdapat pelajar terpaksa menaiki bot untuk hadir menduduki peperiksaan di negeri ini.

"Perkara itu tidak benar. Setakat ini tiada kes sebegitu berlaku di negeri ini walaupun kebanyakan kawasan telah dinaiki air," katanya. –Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MERSING - Tiga kawasan di Jalan Jemaluang-Tenggaroh yang dinaiki air sejak pagi tadi kembali pulih kira-kira jam 2.30 petang tadi.
  • MERSING - Tiga kawasan di Jalan Jemaluang-Tenggaroh dinaiki air sejak pagi tadi namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.
  • KUCHING - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir yang terakhir di Dewan Suarah Mukah di bahagian tengah Sarawak ditutup pada 12.30 tengah hari ini ekoran keadaan cuaca yang baik sejak beberapa hari lepas, walaupun ada beberapa kawasan rendah dalam negeri yang masih digenangi air.
  • KUCHING - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus berkurangan dengan ketara apabila jumlahnya hingga tengah hari ini berkurangan sekitar 536 orang berbanding 1,012 malam semalam.
  • KUCHING - Banjir di Sarawak kian beransur pulih setakat pukul 8 malam ini apabila mangsa banjir menurun kepada 3,173 mangsa daripada 991 keluarga yang masih berada di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam bahagian.