• Sudah kecewa dengan Pas Mohd Syamsul menunjukkan Bible versi Bahasa Melayu yang boleh memesongkan akidah umat Islam, semalam.
  • Sudah kecewa dengan Pas NGO yang hadir ketika Abdullah (tengah) mengisytiharkan wajib undi BN dan haram undi Pakatan Rakyat, semalam.
1 /

TUMPAT - Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa’amah mengisytiharkan wajib mengundi Barisan Nasional dan haram mengundi Pakatan Rakyat apabila Pas didakwanya sudah mula terpesong jauh daripada memperjuangkan Islam.

Pengisytiharan tersebut dibuat di surau Pondok Geting (An-Najmiah), semalam yang dihadiri kira-kira 50 NGO dari Ummati Tanah Air, Pendidikan Fakta (Pendita) Minda Pondok, Selamat Tinggal Pas dan Ikatan Cendekiawan Negeri Kelantan.

NGO tersebut sepakat hadir untuk mengisytiharkan haram mengundi Pakatan Rakyat berdasarkan nas-nas yang dijelaskan mengikut al-Quran, hadis, ijmak ulama dan kitab-kitab muktabar.

Aktivis Ummati Tanah Air, Mohd Syamsul Mohd Yusoff berkata, haram mengundi Pas kerana Pas sudah terpesong daripada perjuangan asal apabila meletakkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) sebagai sandaran mereka untuk menjalinkan kerjasama di antara PKR dan DAP.

Katanya, sebelum tahaluf, Pas mahu menubuhkan negara Islam namun selepas tahaluf Pas mahu menubuhkan negara berkebajikan, begitu juga sebelum ini ingin melaksanakan hudud tetapi kini bukan lagi agenda utama Pas.

“DAP telah secara jelas menolak penubuhan negara Islam dan menegah dari melaksanakan hukum hudud.

“Pas hanya mendiamkan diri kerana mereka hanya menggunakan isu hudud untuk memancing undi,” katanya.

Menurutnya, itu jelas menunjukkan Pas bukan lagi parti yang dominan dalam Pakatan Rakyat sebaliknya DAP adalah parti yang dominan.

“Apabila di Selangor dibuka kilang daging khinzir, arak dijual secara berleluasa, rumah urut berleluasa, Pas hanya berdiam diri.

“Begitu juga dengan isu kalimah ALLAH apabila sampai ke hari ini PKR dan DAP masih berpegang dengan keputusan mesyuarat mereka bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bersetuju Kalimah ALLAH digunakan dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu tanpa menghiraukan keputusan Majlis Syura Pas, ” katanya.

Mohd Syamsul berkata, DAP beria-ria mahu menggunakan kalimah ALLAH dalam kitab Bible versi Bahasa Melayu kerana mereka ada agenda tersembunyi dan sekarang ini pun sudah ada orang Melayu menjadi paderi.

“Sekiranya tidak ditangani dengan baik, masa depan orang Melayu akan hancur, bukan itu sahaja, orang Melayu akan berbalah dengan Kristian.

“Atas dasar akidah kita bersatu, orang Islam Melayu wajib undi BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini,” katanya.

Jelas Mohd Syamsul, kitab-kitab Bible versi Melayu itu sudah ada berada di pasaran dengan judulnya bahasa Arab iaitu AL – Kitab tetapi ditulis dalam bahasa Melayu yang dicetak oleh The Bible Sociaty of Malaysia di Petaling Jaya.