MACHANG - Pemuda Umno Bahagian Machang kecewa apabila PH memberikan pelbagai alasan berhubung kegagalan menyediakan lebuh raya tanpa tol seperti dijanjikan pada PRU14 lalu.

Ketuanya, Mohd Fakaaruddin Ismail berkata, pelbagai janji manis ditabur parti tersebut namun seolah-olah menidakkan manifesto yang dilaung-laungkan dengan memberikan pelbagai alasan yang tidak munasabah selepas diberi mandat oleh rakyat.

“Banyak janji-janji tidak ditepati dan membuktikan manifesto PH hanyalah omong kosong demi memenangi hati rakyat,” katanya.

Menurutnya, perdana menteri dan kepimpinan PH perlu meminta maaf di atas kegagalan mereka bagi mengotakan janji kepada rakyat dan ia bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh memandangkan rakyat meletakkan  harapan yang besar kepada kerajaan baharu ini.

“Kenyataan perdana menteri mengenai pelaksanaan lebuh raya tanpa tol adalah sesuatu yang mustahil, membuktikan PH hanya pandai  memasang janji kosong kepada rakyat semata-mata untuk mendapat undi.

“Ia bukan hanya mengecewakan rakyat tetapi seolah-olah menipu mereka  semata-mata untuk mendapat undi. Perdana menteri perlu meminta maaf kepada rakyat kerana ia bukan kesalahan yang kecil,” katanya kepada Sinar Harian di sini,semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan berkata, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Malah, Pengerusi Bersatu itu sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH.

Mohd Fakaaruddin berkata, tindakan itu juga membuktikan kerajaan BN adalah terbaik dalam melayari perkhidmatan selaku kerajaan persekutuan kepada rakyat Malaysia.

“BN sentiasa komited bagi merealisasikan manifesto yang dibentangkan dengan mengambil kira kepentingan ramai khususnya golongan yang memerlukan,” katanya.