TANAH MERAH - Pelajar Tingkatan Dua antara yang termuda ditahan daripada sembilan suspek yang terlibat menagih dadah di daerah ini sejak Julai lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Azmi Mokhtar, berkata kesemua suspek yang ditahan berumur antara 14 hingga 17 tahun.

"Kita telah buat tangkapan terhadap sembilan pelajar yang terlibat dengan penagihan dadah jenis pil kuda.

"Daripada jumlah tersebut enam merupakan pelajar Tingakatan Lima, seorang pelajar Tingkatan Empat,  seorang pelajar Tingkatan Tiga dan seorang pelajar Tingkatan Dua," katanya.

Azmi berkata demikian selepas menghadiri majlis gotong-royong Masak Bubur Asyura sempena sambutan Awal Muharam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tanah Merah, di sini.

Dalam majlis itu, seramai 80 anggota polis dari pelbagai jabatan dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) menjayakan program bubur Asyura.

Dalam perkembangan berhubung kes itu, Azmi berkata, melalui siasatan yang dijalankan berkemungkinan modus operandi pengedar adalah mencari mangsa dalam kalangan pelajar dengan memberi bekalan dadah sebagai percubaan dan  seterusnya merekrut pelajar untuk menjadi pembekal.

"Kita turut mengesan kumpulan pengedar ini yang cuba untuk mencari pasaran yang lebih ramai dan ada di antara golongan ini merupakan kenalan pelajar berkenaan," katanya.

Beliau berkata dalam tangkapan itu, dua pelajar telah dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan diarahkan berkelakuan baik selama dua tahun.

Manakala tujuh pelajar yang ditahan kini masih menunggu laporan daripada Jabatan Patologi untuk tindakan lanjut.

Azmi juga berharap kerjasama pelbagai pihak supaya menyalurkan maklumat kepada polis berhubung penglibatan pelajar dalam kes penagihan dan pengedaran dadah di daerah ini dalam usaha mengekang kegiatan berkenaan.